KFA Tegaskan Kes Akhyar Rashid Tetap Dibawa Ke Muka Pengadilan

Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman (KFA) hari ini mengeluarkan kenyataan menegaskan tindakan undang-undang yang diambil terhadap bekas pemainnya, Muhamad Akhyar Rashid masih diteruskan.

Menerusi kenyataan yang disiarkan di laman facebook rasmi KFA, Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris menjelaskan proses timbang tara terhadap pemain JDT itu telah dimulakan sejak 18 Januari lalu setelah pelbagai saluran lain tidak menampakkan sebarang penyelesaian.

“Isu-isu pengurusan kes masih dijalankan dan kami tidak boleh memberi sebarang maklumat lanjut berhubung kes timbang tara itu yang sedang berjalan kerana ia hanya terbuka kepada pihak yang terlibat setakat ini.

“Setelah meneliti Perjanjian Pemain yang bertarikh 28 November 2017, peguam kami telah menasihatkan agar proses timbangtara dilakukan menurut Fasal 12.1 Perjanjian tersebut yang membolehkan mana-mana pihak yang tidak puas hati dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM untuk merujuk perkara tersebut ke timbangtara,” katanya.

Disebabkan tiadanya tribunal timbang tara yang sepatutnya diwujudkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menurut Artikel 67 Statut FAM, Mohd Asmirul berkata kes tersebut akan dibawa ke Asian International Arbitration Centre (AIAC) di Kuala Lumpur.

“Oleh kerana untuk menangani ketidakwujudan tribunal (timbangtara) tersebut ketika ini, peguam FAM telah mengesahkan bahawa badan yang paling sesuai di mana proses timbang tara boleh dilakukan adalah di Asian International Arbitration Centre (AIAC) yang berada di Kuala Lumpur. Kami mendapat pengesahan tersebut dari pihak peguam FAM sendiri.

“Akan tetapi setelah mendapat khidmat dan nasihat peguam yang lebih komprehensif, menyeluruh dan mendalam dengan kajian dilakukan ke atas kesemua undang-undang dan peraturan-peraturan yang terpakai di dalam dunia sukan bolasepak professional, termasuk peraturan FIFA di mana pihak-pihak mesti menjalani segala proses perundangan secara domestik sebelum bidangkuasa CAS atau antarabangsa FIFA boleh terpakai, undang-undang AFC dan FAM, serta kontrak pemain tersebut, kami menerima dan akur dengan pendapat peguam kami dan telah memulakan proses timbangtara domestik dahulu.

“KFA adalah ahli kepada FAM, FAM adalah ahli kepada AFC dan FIFA. Kami menerima prosedur yang wajib terpakai untuk menyelesaikan segala pertikaian yang timbul,” jelasnya.

Akhyar Rashid
Akhyar kini beraksi bersama pasukan JDT dalam saingan Liga Malaysia. FOTO: Johor Southern Tigers

Mengulas mengenai keluhan penyokong setia skuad helang merah yang mahu pihak KFA berkongsi perkembangan terkini kes tersebut, Asmirul menjelaskan tidak semua maklumat boleh dikongsi secara terbuka dengan orang awam dan berharap semua pihak bersabar menantikan keputusan rasmi.

“Pihak KFA tidak berupaya untuk memberi sebarang maklumat yang lebih berhubung dengan kes timbang tara tersebut yang masih sedang berjalan kerana proses timbang tara tersebut hanyalah terbuka untuk pihak-pihak yang terlibat setakat ini.

“Saya percaya kesemua pihak harus menghormati prosedur yang telah ditetapkan dan tidak membuat andaian atau membuat tanggapan yang tidak berasas tentang hala tuju kes ini. Kami berharap kesemua pihak akan bersabar dan nantikan keputusan proses timbang tara tersebut,” ujarnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN