Tindakan seorang penyokong setia Kedah memuat naik gambar beliau serta menggunakan logo Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) di laman facebook mengundang padah apabila pihak persatuan berkenaan membuat laporan polis terhadap individu tersebut.
Malah individu tersebut dilihat telah menyindir nama orang kenamaan yang juga merupakan seorang kerabat diraja Negeri Kedah Darul Aman.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan di laman facebook rasmi KFA semalam, mereka mendapati paparan maklumat palsu itu dilakukan seorang individu tidak bertanggungjawab dengan menggunakan nama Raja Muda Kedah dan Tunku Laksamana Kedah bagi tujuan tertentu.
Paparan kenyataan dengan imej seorang lelaki yang dipercayai penyokong Kedah melalui akaun Facebook bernama Azrul Rizla ini menggunakan logo KFA beserta beberapa logo penaja pasukan dengan mesej ‘Keputusan Pengendali Baru Lang Merah untuk musim 2019’.
Dalam grafik dipaparkan di laman Facebook itu juga kelihatan tajuk ‘Keyataan Media’ yang meminta peminat bersabar berkaitan keputusan KFA untuk menentukan pengendali Lang Merah bagi musim 2019.
“KFA kesal kerana penggunaan nama dan gambar yang jelas amat tidak bermoral serta menyalahguna nama KFA dan kononnya kenyataan itu dikeluarkan secara rasmi melalui JK Media dan Perhubungan KFA.
“Sehubungan itu, KFA mahu individu yang menaikmuat kenyataan itu memohon maaf secara terbuka dan sebagai menjaga kredibiliti KFA dan nama baik Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah, pihak persatuan akan membuat laporan polis terhadap individu tidak bertanggungjawab ini pada hari Isnin 1 Oktober 2018.
“KFA menyeru semua penyokong agar mengikuti perkembangan rasmi daripada persatuan ini dan menghargai atas keprihatinan dan sokongan para penyokong selama ini,” kata kenyataan itu.