Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Kevin Ramalingam percaya Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sudah mendapat gambaran lebih jelas mengenai Perlembagaan MFL selepas selesai mengadakan pertemuan hari ini.
Kevin berkata, berdasarkan pertemuannya dengan Naib Presiden KFA Mohd Yusuri Yusof dan Exco KFA Shafferi Rejab selama sejam itu, beliau percaya ia dapat membantu Kedah dalam memilih jalan penyelesaian terbaik terhadap sebarang permasalahan termasuk isu perpindahan pemain Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Kita kena pastikan semua rakan kongsi kita termasuk Kedah sedar akan kandungan Perlembagaan MFL, cara-cara bagaimana untuk menyelesaikan apa-apa kes yang ada, kita sebagai pengurusan liga cuma perlu membawa rakan kongsi kita berjumpa dan memastikan mereka tidak membuat apa-apa yang mungkin melanggar perlembagaan MFL.
“Pihak Kedah menyatakan mereka jelas dengan penerangan sebentar tadi dan saya harap tidak ada apa-apa masalah selepas ini.
“Rakan kongsi kita ada 24 pasukan dan juga FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) jadi kita kena prihatin terhadap mereka, jika ada masalah, ia juga melibatkan MFL. Kita kena memastikan apa saja masalah diselesaikan dengan baik dan tidak dijadikan isu di luar sana,” katanya.
Pertemuan antara MFL dan KFA serta turut dihadiri wakil dari PKNS FC, Perak dan UiTM FC diadakan hari ini selepas wakil KFA tidak hadir dalam sesi taklimat di Johor Bahru pada 3 Januari lalu.
Selain hal perlembagaan, pertemuan antara Kevin dan wakil KFA penting untuk berkongsi maklumat mengenai segala kemaskini urusan berkaitan Liga Malaysia.
Sebelum ini KFA menyuarakan rasa tidak puas hati dengan urusan perpindahan pemain muda Akhyar ke JDT dan mahu membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Dan bagi Kevin, KFA berhak membuat sebarang tindakan asalkan ia tidak bercanggah dengan mana-mana peraturan MFL dan FAM.
“Pihak MFL bukan pihak perundangan yang boleh menyatakan tindakan membawa kes ke CAS betul atau tidak, kita cuma bagi maklumat yang sepatutnya diteliti sebelum apa-apa kes dipanjangkan ke mana-mana pihak termasuk CAS.
“Sebagai rakan kongsi, Kedah sudah diberikan semua maklumat, semua klausa yang perlu diteliti, mana-mana rujukan yang perlu dibuat, sama ada kes itu boleh dibawa ke CAS atau tak boleh itu antara Kedah untuk buat keputusan bukan MFL,” katanya.
Artikel oleh: MFL