Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam mengesahkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tidak mengemukakan sebarang rayuan berkenaan status pemain naturalisasinya, Mohamadou Sumareh.
Berita Harian semalam melaporkan, MFL berkata dokumen yang dihantar PBNP sebelum ini hanya permohonan untuk Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan dan bukannya rayuan.
“Permohonan awal Pahang sebelum ini sudah ditolak berdasarkan peraturan sedia. Jadi kalau nak kata semasa (Sumareh) dapat kad pengenalan dulu sudah buat rayuan, mana ada, itu hanya permohonan.
“Setahu saya, selepas keputusan (penolakan permohonan) itu, tiada apa-apa (rayuan) daripada Pahang dan rayuan perlu dibuat berdasarkan keputusan permohonan sebelum ini.” jelas Kevin.
Kevin turut berkata Lembaga Pengarah MFL hanya boleh mempertimbangkan permintaan PBNP jika ada rayuan rasmi daripada persatuan tersebut.
“Kami sudah menjawab permohonan awal PBNP sebelum ini dan ia mengikut peraturan yang sudah dibuat dua tahun lalu. Kalau pertimbangan mahu diberikan semula, kena ada rayuan.
“Contohnya mereka boleh kemukakan sesuatu (dokumen) yang boleh menyokong kenapa (Sumareh) tidak perlu tunggu hingga lima tahun dan kami tidak pernah melarang sesiapa untuk membuat rayuan,” katanya.
Kelmarin Kevin menjelaskan berdasarkan peraturan Liga M yang sedia ada, pemain yang bukan berdarah campuran perlu memegang kerakyatannya untuk tempoh lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasukan itu.
Sumareh sudah pun memiliki kad pengenalan Malaysia (Biru) dan juga passport Malaysia setelah memenuhi undang-undang status kewarganegaraan.