Belum ada pengumuman rasmi lagi kehadirannya, namun sebuah laman sesawang bola sepak Denmark, bold.dk mendedahkan Kevin Mendoza akan sertai KL United.
Pemain kacukan Denmark-Filipina itu merupakan seorang penjaga gol dan sebelum ini beraksi bersama Vendsyssel FF di divisyen 2 Denmark, 1. Division. Difahamkan beliau memilih untuk menamatkan kontraknya untuk terbang ke Kuala Lumpur.
Mengapa perlu tamatkan kontrak? Difahamkan kontraknya bersama Vendsyssel FF adalah sehingga 2023 dan bagi membolehkannya berhijrah ke KL United, kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak pemain berusia 26 tahun itu.
Kenapa KL United?
Mengikut rekod, Kevin Mendoza baru sahaja menyertai Vendsyssel FF daripada pesaing mereka HB Køge pada September tahun lalu dan telah tampil dalam 16 perlawanan. Dalam 16 perlawanan tersebut, beliau telah bolos 32 kali.
Sebagai pemain kacukan Denmark-Filipina, sudah semestinya sasarannya adalah untuk tampil beraksi bersama Filipina di peringkat antarabangsa. Selepas berjaya mendapatkan pasport Filipina pada 2019, beliau telah tersenarai ke Piala Asia 2019 di UAE. Begitupun, beliau tidak berjaya untuk meraih debutnya sehingga kini.
Bercakap kepada bold.dk mengenai penghijrahannya, Kevin Mendoza menyatakan yang keinginan untuk beraksi bersama Filipina antara pendorong utama. Selain itu, pemain yang diangkat sebagai pemain berbakat besar di Denmark satu masa dahulu ini juga pernah menyertai sesi pemilihan di Liverpool pada 2013.
Jelasnya kepada bold.dk, “Sudah tentu saya memikirkan tentangnya [Filipina], kerana saya pernah bersama mereka sebelum ini lagi. Walaubagaimanapun, kini jurulatih saya sudah dapat menyaksikan saya beraksi lebih kerap [berbanding sebelumnya].”
Sources from Kuala Lumpur have confirmed that they have signed Danish-Filipino goalkeeper Kevin Ray Mendoza. #MFLTransfer2021 #MSL2021
— T. Avineshwaran (@avineshW90) February 12, 2021
Berapa banyak penjaga gol mereka mahu?
Ini satu persoalan menarik apabila Kevin Mendoza dikatakan akan menyertai KL United. Sebelum penyertaannya, The City Boys sudah memiliki empat penjaga gol yang kompetan, Zamir Selamat, Ernest Wong, Khatul Anuar Jalil dan Julian Bechler.
Kini, dengan kemasukkannya, mereka sudah memiliki lima penjaga gol dan bagaimana mereka akan menguruskannya? Siapa yang akan menjadi pilihan utama?
Difahamkan, Kevin Mendoza tidak suka untuk hanya memanaskan bangku simpanan. Katanya, “Saya memiliki mentaliti yang sukakan aksi di padang berbanding hanya berada di bangku simpanan. Ia tidak menyeronokkan [untuk menjadi pilihan kedua].”
Musim lalu, Zamir Selamat telah beraksi dalam semua perlawanan bersama KL United dengan merekodkan 990 minit permainan dalam 11 perlawanan.
JDT SIGN GERMAN-MALAYSIAN JULIAN JOHAN BECHLER
More photos at https://t.co/9GaiqN26dw pic.twitter.com/PJcgOx7eBk
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) July 17, 2019
Persaingan yang ‘terlampau’ banyak
Beraksi dalam semua perlawanan pada musim lalu – yang dipendekkan kepada separuh musim akibat pandemik COVID-19, Zamir Selamat dengan mudah telah mengetepikan cabaran daripada Ernest Wong dan Khatul Anuar Jalil.
Khatul Anuar pernah bersama skuad B-23 negara sementara Ernest Wong adalah bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan merupakan pemain kacukan Malaysia-New Zealand. Ernest Wong dikatakan sudah pulang ke New Zealand, namun dikhabarkan tempatnya digantikan oleh seorang pemain muda KL United.
Untuk musim ini, mereka telah membawa masuk Julian Bechler dari JDT pula. Beliau ada menyatakan hubungan baiknya bersama Bojan Hodak, yang kini merupakan pengendali baharu KL United. Penyertaannya ke JDT adalah hasil inisiatif Bojan Hodak, namun beliau hanya menjadi pilihan kedua di belakang Haziq Nadzli.
Oleh itu, sebenarnya, apa perancangan KL United dengan kemasukkan seorang lagi penjaga gol, Kevin Mendoza. Jelas, terlampau banyak saingan untuk posisi tersebut dan sebagai pemain kouta import, beliau sudah tentu antara pilihan utama pasukan.
Mungkin KL United akan menjelaskan perkara ini dalam masa terdekat. Pilihan yang tinggal adalah dengan meminjamkan keluar sekurang-kurangnya dua pemain itu, sekiranya mereka masih memiliki baki kontrak bersama The City Boys.
KREDIT FEATURED IMAGE: HB Køge
Baca lagi artikel mengenai KL United:
Bojan Hodak Mahu Pacu Prestasi Lebih Cemerlang Buat Kuala Lumpur
Nick Swirad Jadikan Thailand Sebagai ‘Getaway’ Lepas ‘Ditolak’ KL United?