Hari ini media tempatan melaporkan beberapa pasukan Liga Malaysia sudah mula menyuarakan kebimbangan kerana masih lagi belum menerima geran tahunan bagi musim 2019.
Kebiasaannya, geran tahunan akan diberikan pada bulan Mac seperti musim lalu namun memasuki bulan April 2019, geran tahunan masih lagi ‘tersekat’ dipercayai susulan penarikan diri penaja utama, Telekom Malaysia (TM) pada bulan lalu.
Mengulas mengenai isu tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata dalam Sukan Sinar, menjelaskan pihaknya sedang berbincang dengan penaja baharu supaya geran tersebut dapat diagihkan kepada semua pasukan Liga Super dan Liga Premier.
“Kalau boleh saya nak bagi (geran tahunan kepada pasukan) semalam tetapi realiti situasi sekarang adalah kami sedang berbincang dengan penaja baharu sebelum kami terima dana kewangan.
“Sudah pasti pasukan akan menerima geran tahunan mereka. MFL sebenarnya membantu pasukan Liga Super mahupun Liga Premier melalui geran tahunan dan jumlah dana ini hanya 15-20 peratus daripada operasi keseluruhan perbelanjaan mereka.
“Pada awal musim, kita tidak boleh nak cakap pasukan sudah tiada duit disebabkan MFL masih gagal menyerahkan geran tahunan tetapi jika ada satu pasukan mengatakan mereka bergelut dengan masalah kewangan disebabkan MFL masih belum menyerahkan geran tahunan, mereka sepatutnya masih ada 75-80 peratus (dana kewangan) untuk menguruskan diri buat masa ini.
“Apa jadi dengan (baki perbelanjaan mereka) selebih itu? Namun demikian MFL tidak memandang ringan mengenai geran tahunan ini dan kita akan usahakan untuk setiap pasukan.
“Jika mereka masih belum menerima geran tahunan sehingga penghujung tahun, saya boleh faham situasi itu tetapi jangan timbulkan isu masalah kewangan pada awal musim,” katanya.
Bulan lepas, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah mengumumkan penamatan kontrak penajaan bersama syarikat telekomunikasi terkemuka negara, TM yang sebelum ini menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun pada 29 Januari 2018.
Malah, MFL turut menfailkan saman terhadap Telekom Malaysia (TM) kerana gagal menepati janji sebagai langkah untuk mempertahankan kepentingan pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.
Meskipun ketiadaan TM, Kevin memberi jaminan pihaknya akan berusaha menyerahkan geran tahunan kepada 24 pasukan Liga Malaysia. Bagaimanapun, Kevin mendedahkan nilai serta tarikh penyerahan geran bakal terjawab sebaik sahaja pihaknya mencapai perjanjian bersama penaja baharu Liga Malaysia nanti.