Pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne sudah menghasilkan empat bantuan jaringan selepas mengharungi tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20.
Bantuan jaringan keempat pada pertemuan menentang Bournemouth tempoh hari menjadikan beliau sebagai pemain paling pantas mencipta 50 bantuan jaringan dalam EPL iaitu selepas 123 penampilan.
Meskipun ramai melihat perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang menarik, tidak terkecuali juga para pengurus Fantasy Premier League (FPL) tetapi pemain berusia 28 tahun itu kelihatan masih belum berpuas hati dengan corak permainannya terutama pada pertemuan menentang Bournemouth, hujung minggu lalu.
”(Bantuan jaringan) itu tidak begitu penting. Ramai orang bercakap mengenai perkara tersebut tetapi saya merasakan tidak bermain pada tahap permainan yang terbaik.”
”Ini salah satu daripada perlawanan, Ogos, pada saya, saya akan cuba untuk mencari rentak dan pada September ia akan lebih mudah.”
”Saya merasakan pada dua perlawanan awal kami bermain dengan baik, bertemu Bournemouth lebih sukar tetapi ia perkara biasa apabila anda bertemu pasukan yang menggunakan formasi 5-4-1.”
”Ia menjadikan perlawanan lebih sukar, anda perlu lebih bersabar tetapi diakhirnya anda perlu mencatatkan kemenangan dengan cara yang berbeza dan saya rasa itulah yang kami telah lakukan.”
Manchester City bakal menanti kunjungan Brighton pada 31 Ogos nanti untuk aksi keempat saingan liga paling popular di dunia itu.