Kemelut melanda kem Manchester City menyaksikan perancang kreatif, Kevin De Bruyne terpaksa diletakkan sebagai penyerang utama pada perlawanan bertemu Chelsea awal pagi tadi susulan Gabriel Jesus yang positif COVID-19 serta Sergio Aguero masih belum cergas sepenuhnya.
Perkara di luar kebiasaan itu disifatkkan oleh De Bruyne sebagai sesuatu yang cukup pelik bagi memainkan peranan tersebut tetapi ia tidak langsung mengganggu perancangan pengendali pasukan, Pep Guardiola untuk meraih tiga mata penuh.
De Bruyne sendiri turut cemerlang apabila beliau berjaya menjaringkan satu gol dan mencipta bantuan jaringan yang dihasilkan oleh Phil Foden sekali gus membantu The Cityzens menundukkan Chelsea 3-1 di Stamford Bridge.
”Pada mulanya agak aneh [bermain sebagai penyerang]. Saya pernah melakukannya beberapa kali dalam karier saya,” ujar De Bruyne menurut laporan Goal.
”Jelas kami memiliki ramai penyerang dan pengurus meminta saya supaya melakukan tugasan tersebut, jadi saya mencuba yang terbaik untuk melakukannya dengan sebaik mungkin.”
”Saya rasakan selepas lima atau 10 minit, kami telah menemui rentak. Pada permulaannya kami sedikit kurang berkesan dan saya juga berada dalam peranan berbeza pada hari ini tetapi selepas itu kami bermain dengan sangat baik.”
”Kami menggunakan peluang yang terhidang pada masa yang tepat dan bertahan dengan kental untuk 90 minit perlawanan. Sayang sekali kami dibolosi satu gol pada lewat permainan.”
”Kami memiliki pemain yang berbeza dan kami boleh bermain dengan cara berbeza pada tahun ini,jadi kami telah menyesuaikan diri dengan setiap daripada kami .”
”Apabila kami mendapat peluang pada hari ini, kami menggunakannya dan mendahului 3-0 pada separih masa pertama, ia bermaksud kami boleh bermain dengan lebih realistik pada babak kedua,” tambah pemain tengah kelahiran Belgium itu lagi.
Kredit featured image: Shaun Botterill/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Kevin De Bruyne: