Ketum PSSI Tak Sangka Penyokong Indonesia Akan Serang Bas Thailand

Insiden keganasan membabitkan penyokong bola sepak Indonesia sekali lagi berlaku dengan kali ini bas yang membawa pemain Thailand pula menjadi mangsa.

Perkara tersebut berlaku sebelum saingan Piala AFF 2022 yang mempertemukan antara Indonesia dan Thailand di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK).

Ketika itu, sekelompok besar penyokong Indonesia telah pun mengerumuni bas yang membawa para pemain Thailand sebelum tiba di stadium dan membuatkan mereka terperangkap seketika dalam insiden keganasan tersebut.

Disebabkan insiden itu, Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Mochamad Iriawan telah pun membuat permohonan maaf kepada Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) mengenai perkara tersebut.

Menerusi rakaman yang tular di media sosial, beberapa penyokong Indonesia juga telah membuat provokasi yang agak melampau dengan turut mengacukan isyarat lucah kepada para pemain Thailand dari luar bas.

Hasil keganasan yang dibuat, bas tersebut didapati mengalami sedikit kerosakan kecil termasuk kaca tingkap sedikit retak dipercayai telah pun dilempar dengan objek keras.

“Saya Mochamad Iriawan yang membawa nama PSSI serta masyarakat Indonesia ingin memohon maaf kepada Thailand, FAT, serta masyarakat di sana atas insiden yang terjadi,” ujar Iriawan menerusi Instagram.

Rakaman yang dibuat juga menunjukkan hanya satu kenderaan keselamatan sahaja yang mengiringi bas tersebut dan ia jelas mendatangkan rasa tidak puas hati segelintir penyokong di media sosial.

“Kami terlalu yakin dengan membiarkan Thailand menuju ke lokasi pertandingan dari hotel bersama satu kenderaan pengiring sahaja. Kami tak pernah menduga dan sangat menyesal atas kejadian tersebut.

“Semoga pemain, official, persekutuan, dan seluruh masyarakat Thailand dapat memberi kemaafan kepada kami dan ini memberi pengajaran berharga buat bola sepak di Indonesia.

“Kami juga akan memastikan perkara-perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi pada perlawanan akan datang.

“Cukup sekadar bersaing di atas padang bola sepak sahaja selama 90 minit, di luar kita adalah sahabat,” tambah Iriawan.

Pada perlawanan tersebut, kedua pasukan saling terikat dengan keputusan 1-1 dengan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan, menerusi sepakan penalti daripada Marc Klok.

Walaupun pelawat hanya bermain 10 orang kerana layangan kad merah, mereka berjaya mencipta kebangkitan menerusi Sarach Yooyen untuk kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN