Ketua Umum (Ketum) Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSi) iaitu Erick Thohir mengakui dirinya masih giat memburu seberapa ramai pemain warisan di luar negara untuk memperkuatkan Sang Garuda.
Terdahulu, gandingan antara pemain muda dan bintang warisan Indonesia berjaya memastikan pasukan tersebut mencipta sejarah tersendiri untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati bagi saingan Piala Asia 2023.
Sejak beberapa tahun ini, Indonesia jelas tampil begitu serius untuk mendapatkan lebih ramai pemain warisan mereka yang bertebaran di serata dunia untuk didaftarkan selaku warganegara tetap.
Terbaharu, Erick mengakui ada beberapa nama pemain warisan baharu berada dalam pemantauan beliau dan berkemungkinan bakal didaftarkan untuk mrmbantu pasukan kebangsaan mereka.
Tetapi, Erick enggan mendedahkan nama-nama pemain tersebut kerana beliau mempunyai perancangan untuk mengadakan perjumpaan menerusi panggilan video Zoom terlebih dahulu.
“Ada beberapa nama pemain lagi yang akan saya bincang menerusi suatu panggilan video tidak lama lagi untuk melihat situasi semasa mereka.
“Apapun, namanya ke belakang nanti saya akan umumkan kepada semua bila segalanya sudah pun dipastikan mereka akan menyertai Indonesia. Ketika ini, kami tak boleh dedahkan dahulu,” jelas Erick menerusi perkongsian Bola.com.
Pada masa sama, Erick mengakui beliau tidak mahu memilih pemain warisan sebarangan untuk didaftarkan selaku warganegara Indonesia kerana mereka sudah pun menetapkan kriteria tersendiri yang bersesuaian.
“Kami ada kriteria tersendiri untuk memilih pemain bersesuaian bagi memperkukuhkan pasukan kebangsaan Indonesia, kami tak memilih sebarangan pemain warisan di luar negara,” ujarnya lagi.
Semenjak dilantik selaku Ketum PSSI pada Februari 2023 lalu, Erick telah pun mendaftarkan empat pemain warisan iaitu Ivar Jenner, Rafael Struick, Justin Hubner, dan terbaharu Jay Idzes.
Lebih menarik, empat pemain warisan tersebut masih muda dan aktif bersama pasukan masing-masing di luar negara yang dianggap sebagai aset penting buat masa depan bola sepak Indonesia.
Terbaharu, ada empat lagi pemain warisan yang menunggu masa sahaja untuk didaftarkan iaitu Nathan Tjoe-A-On, Ragnar Oratmangoen, Thom Haye, serta penjaga gol, Maarten Paes.
“Terkini, saya meminta pengendali utama Indonesia iaitu Shin Tae-yong untuk pergi ke Eropah bagi memburu beberapa lagi pemain warisan baharu dengan memberi fokus kepada posisi serangan masa hadapan,” katanya akhir sekali.