Ketum PSSI Mahu Skuad Garuda Kali Ini ‘Hajar’ Malaysia & Vietnam

Indonesia tidak pernah menjuarai Piala AFF Suzuki sejak kejohanan serantau itu diperkenalkan pada 1996.

Oleh kerana itu Indonesia yang sinonim dengan gelaran skuad Garuda untuk gelaran pasukan kebangsaan pasukan negara jiran itu mengimpikan agar penantian itu bakal berakhir di Singapura, pada edisi ke-13 penganjuran.

Kesungguhan Indonesia untuk merangkul kejuaraan tunggal Piala AFF Suzuki begitu nyata apabila sanggup menghantar skuad kendalian Shin Tae-yong berkelana ke Turki untuk mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan dan latihan.

Kunjungan ke Turki itu adalah gambaran betapa seriusnya persiapan pasukan negara jiran itu sebelum sepak mula kejohanan di Singapura pada 5 Disember hadapan.

“Saya harap hajar semua lawan. Apalagi ada Vietnam dan Malaysia di babak penyisihan grup [saingan peringkat kumpulan]. Jangan takut, mental harus kuat lawan mereka!,” kata Presiden Persatuan sepak Bola Seluruh Indonesia [PSSI], Mochamad Iriawan kepada pasukan seperti yang dilaporkan oleh Goal.

“Tunjukkan timnas [skuad kebangsaan] Indonesia tim [pasukan] yang kuat di Piala AFF 2020.

“Saya harap hajar [kalahlkan] semua lawan. Apalagi ada Vietnam dan Malaysia di babak penyisihan grup. Jangan takut, mental harus kuat lawan mereka!

“Tunjukkan timnas Indonesia tim yang kuat di Piala AFF 2020,” ujar beliau lagi yang juga sinonim dengan sapaan Iwan Bule.

Walaupun sekiranya tewas dalam mana-mana perlawanan Iwan Bule tetap mahukan skuad Garuda menampilkan aksi terpuji dan tetap berjuang habis-habisan.

“Tundukkan lawan, berjuang sampai titik darah penghabisan. Kalau pun kalah, setidaknya sudah betul-betul menunjukkan upaya maksimal. Tatap semua lawan, jangan takut.

“Kami ingin timnas Indonesia meraih juara di ajang bergengsi Asia Tenggara tersebut. Pemain harus terus berjuang, bekerja keras, disiplin, dan mengikuti arahan dari pelatih.”

Selain daripada Malaysia dan Vietnam, Indonesia juga harus berhadapan dengan cabaran daripada Kemboja dan Laos yang turut diundi bersama-sama dalam Kumpulan B.

Di Turki, skuad kendalian Shin Tae-yong akan menghadapi dua perlawanan persahatan iaitu menentang Afghanistan dan Myanmar.

Jurulatih dari Korea Selatan itu pasti berharap pasukan kendaliannya memperolehi keputusan positif agar momentum tersebut dapat diteruskan di Singapura nanti. Dua pemain yang berpengkalan di Eropah, turut akan memperkuatkan cabaran Sang Garuda di Singapura nanti.

Kali terakhir Indonesia mengatasi Malaysia dalam kejohanan utama ialah pada 29 Disember 2010, di perlawanan timbal balik perlawanan akhir Piala AFF Suzuki.

Walaupun menang 2-1 dalam perlawanan tersebut, Indonesia tetap kecewa kerana terlebih dahulu tewas 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, dan kempunan merangkul kejuaraan tersebut dengan agregat 4-2.

Leave a Reply