Ketua Jurulatih TFC, PDRM Tiada Masalah Patuhi Larangan MFL

Ketua Jurulatih

Beberapa ketua jurulatih pasukan Liga Malaysia tidak berdepan sebarang masalah untuk mematuhi arahan dikeluarkan Malaysian Football League (MFL) berhubung larangan mengadakan aktiviti bola sepak termasuk latihan sehingga mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Antaranya ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Mohd Zain yang berkata, pihaknya tidak akan sewenang-wenangnya melakukan sebarang latihan dalam masa terdekat kecuali sudah mendapat lampu hijau daripada MKN dan MFL.

Malah, beliau turut mencadangkan beberapa langkah dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) boleh diperkenalkan kepada pasukan selepas kebenaran melakukan latihan diberikan oleh MKN pada masa akan datang.

“Apa sahaja arahan diberikan, sudah pasti kami akan patuh walaupun kalau diikutkan, kami memang hendak melakukan latihan dalam masa terdekat tetapi memang mustahil.

“Mungkin kita boleh melakukan latihan pada masa akan datang dengan SOP yang lebih ketat seperti tiada kontak daripada segi fizikal semasa lakukan latihan dan dipecahkan dalam kumpulan yang lebih kecil.

“Jika mempunyai kemudahan mencukupi, tidak menjadi satu masalah kepada mana-mana pasukan dan saya rasa SOP yang akan dikeluarkan nanti boleh diikuti oleh semua pasukan.

“Bagaimanapun, kita tunggu sahaja arahan daripada MFL kerana saya pun faham semuanya bergantung kepada kelulusan pihak kerajaan,” katanya.

MFL dalam satu kenyataan media semalam menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ab Ghani Hassan menegaskan, keputusan larangan sebarang aktiviti bola sepak adalah selaras dengan tindakan kerajaan yang memutuskan untuk melanjutkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini.

Katanya, MFL akan sentiasa mengikuti perkembangan dan saranan daripada MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memberikan kebenaran kepada pemegang taruh Liga M untuk melaksanakan aktiviti bola sepak jika aksi domestik kembali bersambung musim ini.

Ishak Kunju Mohamad. FOTO: MUSA

Sementara itu, ketua jurulatih PDRM FA, Mohamad Ishak Kunju Mohamad, juga tidak keberatan mengikut arahan daripsda MFL malah bersetuju semua pasukan harus memberikan kerjasama sepanjang tempoh yang sukar ini walaupun buat pasukannya, ada pemain yang sukar lakukan latihan secara bersendirian kerana kembali bertugas sebagai anggota polis sepanjang tempoh PKP.

” Sebagai sebuah kelab merupakan organisasi kerajaan, sudah tentu kami akan tunjukkan contoh yang baik dan sentiasa mengikut arahan MKN serta saranan MFL.

” Malah saya sendiri ada bertanyakan pengurusan tertinggi mengenai bila kami boleh memulakan latihan tetapi mereka mahu segala kata kebenaran mestilah datang MFL.

” Buat masa ini, pemain profesional dalam pasukan masih kekal lakukan latihan sendiri di rumah namun untuk pemain yang bertaraf anggota, mereka diarahkan untuk kembali bertugas.

” Dalam hal ini saya tidak memaksa mereka (anggota polis) melakukan latihan sendiri kerana memahami kekangan tugas dan harap bila latihan dibenarkan bersambung nanti, mereka boleh dapat mencari kembali kecergasan sebelum liga bermula, ” katanya.

Kredit foto: Terengganu FC dan Melaka United Soccer Association – MUSA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN