Skuad kebangsaan Indonesia meraih kemenangan 4-1 ke atas Timor Leste dalam aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali pada Khamis.
Skuad kendalian Shin Tae-yong itu yang sebahagian besarnya merupakan pemain-pemain muda sedikit bergelut pada separuh masa pertama dan terlebih dahulu dibolosi dengan gol Paulo Gali pada minit ke-35.
Bagaimanapun skuad Garuda tidak panik dan kembali mendominasi permainan pada babak kedua dengan memberikan tekanan kepada lawan bagi mengawal rentak permainan.
Hasil konsentrasi dan kesabaran, Indonesia berhasil mendapatkan gol pertama pada minit ke-65 menerusi rembatan kencang pemain tengah Ricky Kambuaya yang tepat menuju ke penjurung gawang gol pasukan pelawat.
Skema permainan cantik mampu diselesaikan dengan baik oleh Kambuaya. Game on! 🔥#KitaGaruda #MeraihImpian #TimnasDay pic.twitter.com/WLtKpTBlfo
— PSSI (@PSSI) January 27, 2022
Tujuh minit kemudian, pengadil menganugerahkan sepakan penalti kepada Indonesia selepas mengesan bola terkena tangan pemain pertahanan Timor Leste, Gumario Moreira dalam kotak penalti.
Permata baharu yang semakin bersinar, Pratama Arhan tiada masalah untuk menterjemahkan peluang terhidang itu untuk meletakkan pasukannya mendahului permainan.
Pratama Arhan sekali lagi mencuri tumpuan apabila balingan jauhnya dari tepi padang berjaya memerangkap penjaga gol lawan Georgino Mendonca yang tertampan bola masuk ke gawang sendiri untuk menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-76.
Lemparan Arhan membuahkan gol untuk Indonesia! ✊
Tiga-satu Indonesia unggul! ❤#KitaGaruda #MeraihImpian #TimnasDay pic.twitter.com/wC7mQUfSV0
— PSSI (@PSSI) January 27, 2022
Malam gemilang Indonesia dilengkapkan dengan gol keempat setelah Filomeno Junior melakukan kesilapan apabila percubaannya untuk mengeluarkan hantaran lintang Pratama Arhan terbias masuk ke gawang sendiri ketika aksi berbaki 10 minit.
Pratama Arhan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan hasil sumbangan besarnya dalam perlawanan ini.
Sementara itu, skuad kebangsaan Malaysia pula tidak mempunyai sebarang aktviti sepanjang kalendar bola sepak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 24 Januari sehingga 1 Februari ini.
Pada awal bulan ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengatakan pihaknya mengalami kesukaran untuk mengatur sebarang perlawanan persahabatan kerana kekangan masa dan tarikh tersebut bertembung dengan persiapan pasukan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim baharu ini.