Selangor terus tampil gah pada musim ini menerusi persiapan mereka, dengan terbaharu pasukan tersebut sah melantik Ramon Marcote dalam barisan kejurulatihan mereka.
Marcote yang sebelum itu pernah membimbing pasukan Kedah Darul Aman (KDA), sekali lagi akan membentuk kerjasama bersama Tan Cheng Hoe yang kini menjadi jurulatih utama Selangor.
Musim ini Gergasi Merah akan terus berdiri teguh di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe bersama barisan kejurulatihan & pegawai yang turut diperkuatkan oleh dua muka baharu iaitu Ramón Marcote & Fouzi Mukhlas.
Baca artikel penuh di: https://t.co/azdn93URoa#MKLK pic.twitter.com/TcGUpMkLAz
— Selangor FC (@selangorfc) January 9, 2023
Jurulatih yang berpengalaman dari Sepanyol itu sah dilantik selaku Ketua Pembantu Jurulatih kedua pasukan itu telah pun diperkenalkan secara rasmi sebentar tadi menerusi laman rasmi kelab tersebut.
“Marcote sebelum ini pernah bekerjasama bersama Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, pada tahun 2015 sebagai Jurulatih Kecergasan dan nama beliau sebenarnya amat sinonim di kalangan peminat pasukan Kedah Darul Aman.
“Pemilik lesen kejurulatihan UEFA Pro ini merupakan bekas pengendali skuad pembangunan Atletico Madrid pada tahun 2016/2017. Selain itu, beliau juga pernah membimbing skuad remaja kelab gergasi di Arab Saudi, Al Hilal bawah 15 tahun pada tahun 2021/2022 sebelum ke Ethnikos Achnas di Cyprus sebagai jurulatih,” jelas kenyataan tersebut.
Ura-ura mengenai Marcote akan menyertai Selangor bukan lagi suatu perkara baharu, setelah beliau pernah dikaitkan bersama pasukan tersebut menerusi media sosial sejak beberapa bulan lalu lagi.
Malah, menerusi temu ramah yang pernah kami buat secara eksklusif sebelum ini juga menyatakan pengendali tersebut seolah memberi bayangan awal untuk kembali menyertai Liga Malaysia (Liga-M).
Selain dikaitkan bersama Selangor, Marcote juga pernah dikaitkan bersama KDA sebelum pasukan itu sah melantik Nafuzi Zain sebagai pengendali utama mereka.
“Sudah pasti saya akan datang ke Malaysia jika menerima tawaran yang sangat menarik daripada mana-mana kelab.
“Sebelum itu saya perlu mengetahui terlebih dahulu mengenai projek jangka masa panjang kelab sama ada bersesuaian atau tidak.
“KDA sudah tentu yang saya sangat suka. Mereka mempunyai bakat-bakat muda sesuai untuk terus diketengahkan jika diberi peluang.
“Tetapi saya tak menolak mana-mana pasukan lain yang berminat akan khidmat saya dan sebelum itu pun saya sudah membuktikan sesuatu positif dalam saingan Liga Malaysia,” cakap Marcote kepada kami dengan ceria.
Ramon Marcote Terbuka Terima Tawaran Kembali Latih Kelab Liga Malaysiahttps://t.co/TeQleS1WpD
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) October 19, 2022
Bersama Selangor, Marcote kini turut akan bekerjasama bersama Nidzam Jamil yang dikekalkan pasukan tersebut selaku pembantu jurulatih kepada Cheng Hoe.
Sesuatu yang sangat menarik sebenarnya untuk diperkatakan, kerana gandingan antara Cheng Hoe bersama Marcote sudah pun terbukti sebelum ini dengan KDA menjadi bukti kejayaan mereka pada musim 2015.