Ketiadaan pemain pertahanan negara, Matthew Davies bersama skuad Piala AFF Suzuki kini terjawab. Pemain kacukan Australia-Malaysia itu kini berada di Jerman dan baru sahaja selesai dengan pembedahan hernia oleh pakar dari sana.
Ketiadaan beberapa pemain regular seperti Mohamadou Sumareh, Corbin Ong dan Matthew Davies di dalam senarai skuad kendalian Tan Cheng Hoe sebelum ini sempat mengundang pelbagai spekulasi, termasuk pemain memilih untuk bercuti selepas musim yang panjang bersama kelab.
Melalui IG Story yang dikongsikan pemain itu, Matthew Davies bagaimanapun mengesahkan perkara sebaliknya, dan ia jelas perkara berkaitan kecederaan yang ditanggung oleh pemain itu selama ini.
“Pembedahan hernia sukan yang berjaya di Jerman. Tidak sabar beraksi tanpa kesakitan selepas kesakitan selama 6 bulan.
“Terima kasih kepada JDT kerana membantu mengatur [pembedahan] oleh salah seorang pakar bedah terbaik di dunia untuk menyelesaikan masalah ini. Kini masanya untuk berehat dan menikmati cuti.”
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan berapa lamakah bek kanan itu terpaksa disisihkan akibat kecederaan tersebut. Untuk pembedahan hernia yang biasa, kebiasaannya ia mengambil masa minimum selama tiga minggu untuk pulih.
Namun ia mungkin berbeza buat seorang pemain bola sepak, bergantung kepada tahap kecederaan dan jenis pembedahan yang dilalui.
Berdasarkan tempoh pemulihan, Matthew Davies bagaimanapun dijangka akan pulih sepenuhnya menjelang musim baharu Liga Malaysia pada 2022.
Pemain itu telah mengalami kecederaan tersebut untuk sekian lama, namun terpaksa bertahan dariapda menjalani rawatan kerana komitmen bersama kelab dan negara.
Berdasarkan garis masa dinyatakan, Matthew Davies turut dipercayai sudah mengalami kecederaan tersebut ketika membawa cabaran negara di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia menentang UAE, Vietnam dan Thailand pada Jun lalu.