Quantcast

BERITA

Ketiadaan Leandro Dos Santos Jejaskan Jentera Tengah Perak

Skuad Perak The Bos Gaurus bakal berdepan Petaling Jaya City (PJ City) pada hari jumaat ini tanpa khidmat pemain import dari Brazil, Leandro Dos Santos yang digantung satu perlawanan kerana mengutip enam kad kuning.

Menurut pengendali pasukan itu, Mehmet Durakovic, ketiadaan Leandro pasti akan menjejaskan bahagian tengah kerana pemain itu sering memainkan peranan yang besar dalam membantu menjana serangan Perak.

“Dia mempunyai peranan besar di bahagian tengah kami setakat ini.

“Ketiadaannya pasti akan menjejaskan jentera tengah Perak,” kata Durakovic dalam Stadium Astro.

Ronaldo, PKNP, Perak

FOTO: MFL

Mengulas mengenai pertemuan menentang PJ City, Durakovic tidak mahu anak buahnya tercicir mata lagi kerana setiap perlawanan yang dilalui selepas ini bakal menentukan kedudukan mereka dalam carta Liga Super.

“Sedikit rombakan akan dilakukan bagi mengimbangi pasukan. Perlawanan ini penting buat Perak. Kami perlu kutip mata penuh bagi meneruskan pendakian dalam carta liga,” tambahnya.

Durakovic kini sedang menanti kepulangan tiga tonggak pasukan daripada tugasan skuad kebangsaan iaitu Shahrel Fikri, Shahrul Saad dan Kenny Palraj.

Shahrel atau lebih dikenali ‘Eki’, memainkan peranan penting dengan skuad negara apabila menjaringkan empat gol ke atas Timor Leste dalam perlawanan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Shahrel

Bekas penyerang PKNP FC itu turut mencetak nama sebagai penjaring ketika Malaysia menewaskan Timor Leste 7-1 pada aksi pertama kemudian meledak hatrik bersama skuad kebangsaan pada aksi kedua semalam yang menyaksikan Malaysia meraih kemenangan 5-1.

“Walaupun gembira tetapi saya tidak mahu berbangga sangat dengan pencapaian ini kerana kita hanya cuma berdepan pasukan yang dikatakan tidak begitu besar. Bagi saya prestasi saya masih perlu ditingkatkan.

“Saya tidak boleh berasa selesa sangat dengan kedudukan sekarang kerana setiap pemain sentiasa berusaha menjadi lebih baik daripada sebelumya. Saya akan terus berusaha lebih keras untuk masa depan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!