Ketiadaan Khalil Khamis Peningkan Kepala Dollah Salleh

Dollah Salleh

Ketua jurulatih Pahang FA, Dollah Salleh terpaksa akur dengan ketiadaan pertahanan import dari Lubnan, Khalil Khamis yang masih gagal mendapat lampu hijau untuk pulang ke Malaysia bagi menghadapi baki saingan CIMB Liga Super bersama pasukan.

Khalil masih lagi berada di Lubnan dan Dollah menjangkakan kemungkinan besar harapan untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun ini adalah tipis memandangkan kerajaan Lubnan yang menyekat rakyatnya keluar dari negara itu.

Apatah lagi ketika ini tragedi letupan yang berlaku di ibu kota Beirut, Lubnan pada minggu lalu pastinya menyukarkan lagi keadaan Khalil untuk pulang ke Malaysia.

Tambah Dollah, beliau juga sudah lama tidak mendengar khabar berita daripada pemain itu tetapi hanya mengetahui bahawa Khalil terselamat daripada letupan yang telah mengorbankan puluhan penduduk dan mencederakan puluhan ribu orang itu.

“Memang sekarang saya kena terima hakikat bahawa Khalil tidak akan bersama pasukan dan kita tunggu sahaja status pemain itu macam mana selepas ini.

“Saya pun sudah lama tidak dengar apa-apa berita mengenai Khalil dan kita pun ada bertanya juga, cuma apa yang saya tahu dia memang tidak dapat pulang lagi ke Malaysia, cuma pemain import dari Filipina, Adam Reed dapat juga kembali bersama pasukan.

“Memang pening sikit nak persiapkan pasukan ini apabila Khalil pun tiada, Muslim Ahmad pula masih cedera dan sekarang saya banyak menggunakan pemain muda sebab nak taknak, kita kena gunakan pemain-pemain yang ada ini untuk baki saingan Liga Malaysia musim ini,” jelasnya.

Menjelang saingan Liga Malaysia yang akan bermula pada 26 Ogos ini, Dollah enggan prestasi pasukan hanya dinilai atas dasar perlawanan persahabatan sambil menegaskan beliau tidak mementingkan keputusan, tetapi menitikberatkan tahap keserasian yang dapat dibentuk antara pemain muda dan senior di atas padang.

Terdahulu, Pahang tewas 3-0 kepada Terengganu FC 2 dalam aksi persahabatan pertama yang telah berlangsung pada minggu lalu di Stadium Darul Makmur.

“Harapan saya mestilah ingin menang dalam setiap perlawanan sebaik sahaja saingan bermula, tetapi macam saya cakap, beberapa tonggak utama tidak dapat diturunkan.

“Walaupun tewas 3-0 kepada pasukan Liga Premier, tetapi saya harap janganlah membandingkan prestasi pasukan kepada keputusan yang diraih itu kerana saya ingin memberi peluang kepada semua pemain tidak kira senior atau pun pemain muda.

“Kalah atau menang tidak penting dalam aksi persahabatan ini kerana yang penting adalah bagaimana pemain-pemain itu mencari keserasian dalam keadaan ketiadaan beberapa tonggak utama ini”, tambah Dollah Salleh lagi.

Kredit featured image: Pahang FA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN