Di mana dia Corbin Ong? Setelah senarai 26 pemain untuk menggalas cabaran skuad senior kebangsaan diumumkan, kami dibanjiri dengan banyak soalan yang sama oleh pembaca kami.
Mengapa bek kiri JDT, Corbin Ong tidak mendapat panggilan ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk cabaran Piala AFF Suzuki pada November hadapan?
Banyak pertanyaan
Ketiadaan Corbin Ong telah menimbulkan banyak pertanyaan di kalangan peminat dan penyokong bola sepak tempatan.
Antara nama yang pasti mencuri tumpuan peminat setiap kali senarai pasukan kebangsaan diumumkan ialah duo dari pasukan JDT, Corbin Ong dan Natxo Insa.
Namun sehingga kini hanya aksi Natxo Insa sudah dilihat bersama pasukan kebangsaan.
Kali pertama & terakhir kedua-dua pemain berdarah campuran Malaysia ini dipanggil pada awal Mac tahun ini ketika aksi persahabatan lawan Mongolia. Hanya Natxo Insa yg melakukan penampilan sulung bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan tersebut manakala Corbin Ong terpaksa…. pic.twitter.com/X2NCScT0yo
— Kaki Rembat Artwork (@RembatKaki) October 22, 2018
Tidak kurang juga yang tampil membuat spekulai selepas nama Corbin tiada dalam senarai pasukan pilihan Tan Cheng Hoe.
Natxo Insa dan Corbin Ong dapat IC untuk game dalam Malaysia saja, bila game International IC hilang. Hazwan dan Azrif ni dapat call up sebab kabel. Simple.
— Ammar (@Ammar81208852) October 22, 2018
Itu antara perkongsian komuniti bola sepak Malaysia mengenai ketiadaan pemain tersebut di dalam skuad 26 pemain yang akan menggalas cabaran ke Piala AFF nanti.
Bukan pilihan Tan Cheng Hoe
Antara alasan yang kami fikirkan paling logik dan menjadi sebab Corbin Ong tidak mendapat panggilan oleh Tan Cheng Hoe ialah kerana pemain itu bukan pemain pilihan beliau.
Ketika ditemui oleh wartawan Berita Harian, jurulatih berusia 50 tahun itu menyifatkan 26 pemain pilihan beliau kali ini sebagai menepati cita rasa beliau.
“Setiap jurulatih ada perancangan tersendiri, begitu juga saya apabila saya memanggil 26 pemain untuk persediaan kerana saya sudah ada bayangan pemain untuk ke Piala AFF 2018.
“Saya kira mereka pemain terbaik bagi setiap posisi yang diperlukan dan sesuai dengan taktikal serta corak permainan yang akan saya terapkan.
“Ini bukan bermakna pemain yang tidak terpilih itu tidak bagus, jadi saya harap mereka akan terus bekerja keras kerana saya sedia memberi peluang kepada mereka untuk menyertai tugasan antarabangsa selepas ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun jawapan yang dinyatakan di atas sebenarnya adalah untuk Tan Cheng Hoe merujuk kepada ketiadaan beberapa nama lain yang menyerlah di saingan Liga Malaysia pada musim ini seperti Muslim Ahmad, Faiz Nasir dan Ashari Shamsudin.
Anehnya, tiada persoalanan, jauh sekali penjelasan mengenai ketiadaan Corbin Ong di dalam senarai pasukan kali ini.
Ada apa dengan Corbin Ong?
Untuk beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini, Tan Cheng Hoe telah memanggil beberapa pemain yang berbeza untuk mencari gandingan terbaik bagi mewakili pasukan negara ke Piala AFF Suzuki 2018.
Untuk posisi bek kiri, Syazwan Andik, Fazly Mazlan, dan Nazirul Naim adalah antara pemain yang diuji, dan telah mendapat panggilan menyertai skuad 26 pemain.
Satu-satunya panggilan yang pernah dilakukan untuk Corbin menyertai pasukan kebangsaan ialah pada 13 Mac 2018, untuk perlawanan persahabatan menentang Mongolia dan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lebanon.
Atas sebab yang tidak diketahui, Corbin Ong tidak melakukan kemunculan dalam perlawanan menentang Mongolia.
Sehari kemudian, Tan Cheng Hoe bertindak mengugurkan 14 pemain, termasuk Corbin dan digantikan dengan sembilan pemain lain untuk perlawanan menentang Lebanon beberapa hari kemudian.
Ini bermakna sejak menyertai JDT dan didaftarkan sebagai pemain tempatan, Corbin Ong belum pernah diuji oleh Tan Cheng Hoe.
Apakah justifikasi Tan Cheng Hoe untuk melabel pemain seperti Corbin sebagai tidak sesuai dengan selera atau taktikal beliau?
Analisis minit perlawanan
Pada musim 2018, JDT bertanding di dalam empat pertandingan iaitu Liga Super Malaysia, Piala FA, Piala Malaysia dan juga Piala AFC.
Kepentingan pemain ini kepada cabaran JDT pada musim ini tidak boleh disangkal lagi.
Di pertandingan Piala AFC, Corbin tampil dalam empat perlawanan untuk JDT. Ini membuktikan pemain ini adalah pilihan pertama di posisi bek kiri, berbanding Fazly Mazlan yang mendapat panggilan oleh Tan Cheng Hoe.
Seorang penulis bebas, Zuraimi Zukri turut melakukan sedikit analisis dan dan carian beliau turut mengesahkan Fazly Mazlan hanya beraksi 180 minit untuk JDT pada musim ini.
Corbin turut tampil di dalam 21 daripada 22 keseluruhan perlawanan Liga Super pada musim ini, dan turut beraksi di dalam semua 10 perlawanan tanpa diganti sepanjang kempen Piala Malaysia.
Bukan mahu mempertikaikan kebolehan Fazly, tetapi jika Corbin menjadi pemain pilihan pertama di peringkat kelab, bukankah beliau lebih layak untuk mendapat panggilan menyertai pasukan kebangsaan?
Atau adakah kredibiliti Luciano Figueroa dan Benjamin Mora wajar dipersoal kerana terlepas pandang Fazly adalah lebih baik daripada Corbin?
Rumusan
Merujuk kepada soalan utama oleh pembaca-pembaca kami, secara jujurnya kami tidak mempunyai penjelasan untuk itu.
Sehingga artikel ini ditulis, belum juga ada sebarang penjelasan dari Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Berbeza di luar negara, (sebagai contoh Gareth Southgate), jurulatih akan mengadakan sidang media untuk menjelaskan pemilihan pemain oleh mereka, terutama menjelang kejohanan.
Ianya lebih mudah untuk media bertanyakan soalan, sekaligus mengelakkan spekulasi liar mengenai proses pemilihan, atau pun status seseorang pemain seperti Corbin Ong.
Mungkinkah sudah tiba masanya FAM turut berbuat demikian?