Ketandusan Penyerang Tempatan, Adakah Malaysia Tak Cemburu Dengan Negara ASEAN Lain?

Penyerang tempatan

Sejak pemain import dibenarkan bermain di Liga Malaysia, jelas kelihatan kita semakin ketandusan penyerang tempatan yang boleh memainkan peranan utama dalam mencari gol dan menjadi individu penting dalam senarai merebut anugerah kasut emas.

Setiap tahun, pemain import akan berada di atas dan membolot anugerah itu manakala pemain tempatan pula jauh ketinggalan jika kita bandingkan dengan jumlah gol.

Adakah pemain tempatan kurang memberi saingan atau kurang mendapat minit permainan menjadi faktor kenapa mereka gagal menjadi penjaring terbanyak liga atau sekurang-kurangnya membuktikan sesuatu?

Dalam soal ini, siapa patut  disalahkan? Adakah Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)? Atau kelab-kelab Liga Malaysia sendiri?

Atau jurulatih itu sendiri yang lebih percaya penyerang import berbanding pemain tempatan?

Boleh dikatakan setiap pasukan akan memberi keutamaan kepada penyerang import berbanding pemain Malaysia untuk menggalas tugas utama.

Ini menyebabkan mengapa kita gagal menonjolkan bakat tempatan apatah lagi untuk memenangi penjaring terbanyak.

Ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada skuad senior.

Kita boleh lihat setiap perlawanan antarabangsa, kita berjaya mencipta peluang namun ketajaman di hadapan gol yang memisahkan kita dengan seteru ASEAN dan negara Asia yang lain.

Di Liga Super, PJ City adalah pasukan tidak menggunakan pemain import dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada anak tempatan.

Hasilnya memberi impak positif, Darren Lok berjaya meledak 10 jaringan sepanjang 22 perlawanan termasuk satu hatrik dan berada ditangga ketujuh penjaring terbanyak.

Untuk pencapaian terbaik bagi penyerang tempatan bersaing bersama penyerang import adalah Khalid Jamlus ketika mewakili Perak telah menjaringkan 13 gol pada musim 2007-2008.

Namun begitu, pada tahun 2009 sehingga 2011, FAM telah mengambil satu pendekatan berani dengan melarang pasukan di Liga Malaysia menggunakan pemain import.

Tujuan utama FAM ingin melahirkan lebih ramai penyerang tempatan dan ia ternyata memberi perkembangan positif buat skuad negara.

Ketika itu, kita dapat melihat ramai bakat pemain tempatan menonjol dan penyerang Terengganu,  Abdul Hadi Yahya berjaya meledak 20 jaringan pada musim 2011.

Dalam tempoh itu juga, kita berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA dua kali berturut-turut dan mencipta sejarah memenangai Piala AFF buat pertama kali dalam sejarah pada tahun 2010.

Penyerang kebangsaan, Safee Sali turut memenangi kasut emas selepas meledak lima jaringan sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Bagaimanapun, larangan menggunakan pemain import hanya bertahan seketika sahaja.

Bermula 2012, FAM telah membenarkan pasukan di Liga Malaysia menggunakan semula pemain import.

Sejak itu, dari semasa ke semasa kuota pemain asing terus ditambah.

Bermula 2018, lima pemain import dibenarkan dan untuk tahun 2023 pula, pasukan yang bertanding dibenarkan mengambil sehingga sembilan pemain luar untuk menguatkan pasukan.

Melihat situasi ini, nampaknya kita semakin sukar untuk mendapatkan seorang pemain penyerang tempatan yang benar-benar mempunyai ketajaman di hadapan gol.

Dengan minit permainan yang kurang serta peluang yang diberikan terhad ditambah hanya melihat rakan-rakan bermain telah menyebakan bakat yang ada pada penyerang tempatan ini akan mula hilang sedikit demi sedikit.

Diakui kehadiran pemain terbaik dari luar negara dapat memberi cabaran kepada penyerang tempatan namun jika peluang itu tidak diberikan sebaik mungkin, ia adalah satu kerugian.

Dalam hal ini, kelab-kelab juga perlu mengambil inisiatif untuk membangunkan bakat penyerang dengan tidak terlalu mengharapkan pemain import.

Keputusan meletakkan penyerang tempatan di kesebelasan utama adalah di luar bidang kuasa FAM dan MFL, jadi kelab sendiri perlu bergerak dan melakukannya.

Kita lihat negara jiran seperti Thailand mereka ada Supachai Chaided, Vietnam mempunyai Nguyen Tien Linh dan Singapura memiliki Ikhsan Fandi di bahagian serangan – tidakkah kita cemburu?

Pemain ini bukan sahaja memberi bahaya kepada lawan tetapi boleh mencipta serta menjaringkan gol.

Masa masih ada

Hujung tahun ini Harimau Malaya akan menghadapi Piala AFF 2022 dan ini adalah medan terbaik untuk memilih pemain ke Piala Asia 2023 yang akan diadakan di Qatar nanti.

Semoga Malaysia dapat mewujudkan seorang pemain penyerang yang boleh menjadi pemusnah setiap kali diturunkan dan dapat memanfaatkan deretan peluang kepada bentuk jaringan.

Masa masih ada sebelum Piala Asia bermula, sempat lagi untuk penyerang berbisa tempatan dicipta oleh kita.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN