Gandingan Arif Aiman Hanapi bersama penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Bergson da Silva antara dianggap bakal mencuri tumpuan untuk aksi final Piala Malaysia 2023.
Apa tidaknya, kedua individu tersebut menjadi tonggak utama buat barisan serangan JDT dan telah pun membuktikan betapa berbisanya mereka di posisi tersebut sejak musim lalu bersama pasukan tersebut.
JDT bakal menghadapi satu lagi aksi final pada musim ini bagi saingan peringkat domestik selepas unggul meraih gelaran juara untuk kejohanan Sumbangsih, Piala FA, serta Liga Super.
Tampil dengan serba lengkap di segenap posisi, JDT turut memberi cabaran cukup sengit di pentas Asia selepas pasukan tersebut berjaya menewaskan wakil Korea Selatan iaitu Ulsan Hyundai dan gergasi dari Thailand, BG Pathum.
Kelicikan Arif Aiman sangat berbahaya
Di sebalik lambakan pemain bintang dan berbakat, tumpuan ketika ini jelas menjadi milik Arif Aiman yang terus membuatkan para pemina bola sepak terpesona akan kualiti dipamerkan beliau di atas padang.
Pada usia masih muda, Arif jelas menjadi individu paling bertuah ketika ini dalam Malaysia selepas beliau telah mempamerkan kualiti sangat tinggi buat kelab dan negara.
Bersama Harimau Malaya, Arif menjadi komponen penting buat serangan negara menerusi gandingan beliau bersama Faisal Halim untuk memecahkan blok pertahanan lawan.
Arif juga berjaya mencatat nama sebagai salah seorang penjaring buat skuad kebangsaan musim ini bawah kendalian Kim Pan-gon.
Untuk JDT, segalanya kini sudah lengkap buat ‘Mr. MVP’ ini selepas beliau turut merekodkan jaringan sulungnya dalam saingan AFC Champions League (ACL) ketika Harimau Selatan menewaskan BG Pathum.
Momentum Arif ketika ini boleh dikatakan dalam keadaan cukup baik untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi tersebut untuk menggempur kubu pertahanan Terengganu.
Bukan hanya bersandarkan kepada ketajaman di hadapan gol, senjata sebenar Arif terarah kepada kelicikan beliau untuk mengatasi pemain lawan serta bijak melepaskan umpanan berbahaya buat rakan serangan lain terutama sekali, Bergson.
Bergson buru gelaran penjaring terbanyak Piala Malaysia 2023
Ketika ini Bergson sudah pun meledak 10 gol untuk saingan Piala Malaysia 2023 dan berkelebihan dua jaringan berbanding penyerang berbisa Terengganu, Ivan Mamut.
Bergson tidak perlu diperkatakan lagi mengenai kualiti beliau selaku antara penggempur import terbaik sepanjang zaman yang pernah wujud dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Walaupun bermula sedikit perlahan pada awal musim atas masalah kecederaan, ianya tidak mengganggu rentak Bergson selepas itu untuk kembali berbisa bersama pasukan tersebut.
Bergson turut meledak gol pada musim ini untuk saingan ACL, dan sudah tentu beliau ingin mengekalkan namanya selaku penyerang utama berbisa JDT bagi perlawanan akhir bertemu Terengganu.
Kombinasi antara Bergson dan Arif juga boleh dianggap sangat menarik kini setelah masing-masing dianggap saling memahami antara satu sama lain ketika situasi berhadapan dengan pertahanan lawan walaupun pada situasi sukar.