Kesudahannya, Penyokong KL City Dapat Pas Bermusim ‘Laminate’

Pas Bermusim KL City Laminate 2021

Semua penyokong KL City FC kini tertumpu kepada isu Pas Bermusim 2021 yang telah mula dibuka jualannya oleh pihak pengurusan pada hari ini (Rabu) sehingga Jumaat.

Sebagaimana yang semua telah maklum, perlawanan melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan Melaka United dan KL City berdepan Sabah FC akan menjadi projek perintis bagi kebenaran kemasukan penonton pada Liga Malaysia musim ini.

Dua perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu akan dipantau bagi mendapatkan kelulusan untuk membenarkan semua kelab menerima kehadiran penyokong ke stadium semula.

Terdapat amalan operasi prosedur standard (SOP) yang perlu diikuti oleh pengurusan pasukan seperti yang telah ditetapkan oleh pihak Malaysian Football League (MFL).

Antara SOP yang ditetapkan oleh MFL adalah proses sanitasi, kaedah penjualan tiket, hanya penyokong tuan rumah dibenarkan ke stadium, had umur dan sebagainya.

JDT dilihat lebih awal mengumumkan kaedah yang bakal mereka laksanakan untuk perlawanan menentang Melaka United pada Jumaat. Dan daripada apa yang dapat dilihat, ia akan lebih mudah untuk diuruskan pada hari perlawanan nanti.

Ini kerana, JDT hanya membenarkan pemegang Pas Bermusim Platinum dan Gold untuk memasuki stadium dengan jumlah yang dibenarkan terhad kepada 2,000 penyokong sahaja. Oleh itu, tiada jualan tiket secara atas talian akan dijalankan.

Kesemua pemegang Pas Bermusim Platinum dibenarkan untuk masuk dan hanya perlu hadir di Stadium Sultan Ibrahim pada hari perlawanan dengan membawa pas bermusim masing-masing sementara Pas Bermusim Gold, ada perkara yang perlu mereka lakukan terlebih dahulu iaitu mendapatkan QR Code (pas masuk).

Hanya mereka yang mempunyai QR Code atau kad Pas Bermusim Platinum sahaja dibenarkan untuk berada di kawasan Stadium Sultan Ibrahim pada hari perlawanan.

Ini memudahkan pihak pengurusan pasukan dalam menguruskan dan mengawal kehadiran penyokong. Penjualan tiket akan menyaksikan pelbagai lagi perkara perlu dilakukan sama ada oleh penyokong dan juga pengurusan stadium selepas itu.

Antaranya penyokong perlu membeli tiket di atas talian, mencetaknya dan kemudian membawanya ke stadium. Di stadium pula, mungkin mereka perlu menebus tiket sebenar sebagaimana prosedur pembelian di Ticket Hotline sebelum ini.

Mungkin mahu mengikut langkah JDT dalam pengurusan kemasukkan penyokong yang dilihat akan lebih memudahkan pihak pengurusan, KL City juga mengambil langkah yang sama selepas itu dengan pengumuman penjualan Pas Bermusim.

Pas Bermusim 2021 itu akan mula digunakan untuk aksi The City Boys menentang Sabah pada Sabtu dan harga yang ditetapkan adalah RM250. Namun, apa yang didapati oleh para penyokong pada hari ini sangat mengecewakan mereka.

Sebuah kad kertas yang ber ‘laminate’! Mungkin pihak pengurusan tidak sempat untuk bersiap sedia dengan kaedah menerima kehadiran penyokong pada Sabtu. Namun, apa yang dilakukan oleh pihak pengurusan bolehlah dianggap sambil lewa.

Tetapi, bukankah sepatutnya hal berkaitan pas bermusim ini boleh diselesaikan awal dan tidak tergesa-gesa seperti yang berlaku sekarang. Dengan beberapa hari lagi menjelang perlawanan barulah ia diumumkan, memang begitulah hasilnya.

Begitupun, daripada apa yang tertulis di Pas Bermusim ‘laminate’ itu, pas sementara itu akan ditukarkan kepada pas sebenar sebelum perlawanan seterusnya di laman sendiri dan pas tersebut hanya digunakan untuk aksi berdepan Sabah sahaja.

Melihat kepada muat naik terbaru KL City, nampaknya penjualan tiket atas talian turut akan dijalankan dan boleh mula dibeli penyokong pada esok hari di Ticket Hotline.

KREDIT FEATURED IMAGE: TWITTER CITYBOYS

Baca lagi artikel mengenai KL City FC:

RASMI: KL United Kini Bertukar Menjadi Kuala Lumpur City

5 Sebab Semua Pasukan Perlu Jaga-Jaga Dengan KL United

KL United Jelaskan Situasi Sebenar, Khatul Anuar Mahu Bincang Masa Depannya

Leave a Reply