Memukau Di Piala Dunia, Kasper Schmeichel Keluar Dari Bayang Bapanya

Schmeichel

Membesar sebagai anak seorang lagenda pastinya sedikit sukar. Tambahan pula, anda juga bermain bola sepak dan paling sukar, anda beraksi di posisi yang sama dengan bapa anda.

Itulah yang dilalui oleh hero Denmark dalam pusingan 16 terbaik, Kasper Schmeichel, sepanjang karier bola sepaknya. Sebagaimana bapanya, dia juga beraksi di posisi penjaga gol.

Ukir namanya sendiri

Walaupun tewas kepada Croatia dalam perlawanan tersebut, keperwiraan Schmeichel menyelamatnya golnya sehingga ke penentuan sepakan penalti paling menjadi bualan ramai.

Aksi spontan bapanya yang juga lagenda Manchester United, Peter Schmeichel, turut mencuri tumpuan taktala kedua-dua pasukan sedang bersaing dalam penentuan sepakan penalti.

https://twitter.com/Hellyers/status/1013520169233207296

Dan bapanya turut menitip sesuatu buat anaknya, rakan sepasukan anaknya dan juga barisan kejurulatihan Denmark di laman Twitternya. Walaupun gagal, namun dia tetap berbangga.

Dia dilihat menggunakan gambarnya ketika bersama United sedang memimpin tangan Kasper Schmeichel yang ketika itu masih kecil. Kedua-duanya mengenakan jersi nombor 1.

Tahukah anda, Kasper Schmeichel senantiasa dibayangi kehebatan bapanya sehingga pada satu ketika, dia terpaksa berkelana ke divisyen empat untuk mendapat minit perlawanan?

Sertai Manchester City di usia 15 tahun

Waima bapanya seorang lagenda di United, Schmeichel sebaliknya memulakan kariernya di Manchester City pada usia 15 tahun walaupun dikatakan ada beberapa tawaran lain.

Schmeichel
FOTO: Clive Brunskill/Getty Images

Bapanya menyatakan kepada BBC pada 2002, organisasi City dilihat sangat tersusun, memiliki individu-individu yang profesional, staf yang bagus serta pengurus yang hebat.

Begitupun, dia gagal menjadi tulang belakang kepada City, malah hanya menjadi pemain yang kerap dipinjamkan ke sejumlah pasukan yang bersaing di divisyen bawahan.

Mengikut rekod, dia banyak membuat penampilan dan beraksi secara pinjaman bersama kelab liga bawahan iaitu Darlington, Bury, Falkirk, Cardiff City dan Coventry City.

Dan hanya 8 penampilan bersama City. Malah bapanya pernah berkata kepada BBC, anaknya tidak gembira menjadi pilihan ketiga di belakang Andreas Isaksson dan Joe Hart.

Tinggalkan City, sertai kelab divisyen 4

Pada Ogos 2009, Schmeichel menyertai Notts County, kelab divisyen empat, iaitu di League 2. Dia membantu kelab tersebut untuk meraih promosi ke League 1 pada musim tersebut.

Dia hanya bolos 0.67 untuk satu-satu perlawanan dan telah merekodkan 24 clean sheets dari 43 penampilan sepanjang musim. Ia adalah rekod yang sangat mengagumkan.

Namun, kelab tersebut akhirnya terpaksa melepaskannya pada penghujung musim itu. Menurut laporan BBC, kelab itu sedang menghadapi masalah kewangan yang serius.

Schmeichel
FOTO: Getty Images

Ia dipercayai disebabkan Notts County merasakan mereka akan terkesan dengan implikasi kewangan jika dia kekal di sana seperti yang termaktub dalam kontrak, iaitu berbaki empat tahun.

Ia risiko yang terlalu besar buat kelab kecil seperti mereka. Dengan gaji £15,000 seminggu, Schmeichel merupakan pemain yang berpendapatan tertinggi di kelab tersebut.

Namun satu tindakan terpuji dari anak muda Denmark ini adalah, dia dengan rela hati melepaskan semua baki gajinya untuk baki 4 tahun kontraknya di kelab tersebut.

Leicester City berikan segalanya

“Leeds tidak mahukan saya dan Leicester mahukan saya. Ianya semudah itu,” ujar Schmeichel kepada The Players Tribune mengenai perpindahannya dari Leeds.

Dia hanya semusim di Leeds dalam saingan Championship. Pada penghujung musim, Leeds hanya dipisahkan 3 mata daripada kedudukan untuk pusingan playoff ke EPL.

FOTO: talksport

Leeds menjelaskan ratio bolos yang tinggi telah menjadi sebab dia dilepaskan ke Leicester. Menariknya musim berikutnya, Leeds semakin teruk, hanya meraih kedudukan pertengahan liga.

“Lima tahun kemudian, saya duduk di sofa dengan anak saya yang sedang hanyut tidur di lengan dan kami adalah juara EPL. Saya menangis terharu,” ujarnya mengenai perasaannya.

“Perkara yang gila tentang cerita saya ialah saya hanya datang ke Leicester kerana Leeds tidak mahukan saya,” jelasnya yang akan terus bersama mereka sehingga tahun 2021.

Penutup

Ketangkasannya di gawang ketika aksi Croatia telah menjadi highlight terbesar sepanjang kariernya. Dan menurut SkySports, Chelsea dan Roma sedang memantau situasinya.

Schmeichel
FOTO: EPA

Karier antarabangsanya hanya bermula pada 2013 iaitu di usia 27 tahun. Dan sehingga kini dia telah membuat hampir 40 penampilan bersama skuad kebangsaan Denmark.

Biarpun laluan kerjayanya seperti roller-coaster, dari sebuah kelab besar hinggalah terpaksa bermula semula dari kelab divisyen empat, namun semangat juangnya sangat kuat.

“Saya hanya mahu bermain. Bagi saya, untuk menjadi penjaga gol, anda tidak akan belajar apa-apa dengan hanya menerima gaji dan duduk di bangku simpanan.

Bagi pemain yang pernah berlatih bersama skuad utama City pada usia 15 tahun dan ‘dimusnahkan’ oleh Nicolas Anelka dalam sesi shooting, Schmeichel kini sudah semakin hebat.

Dan kini, dia di mata dunia dan berdiri di atas kakinya sendiri.

Ramai anak legenda ataupun adik beradik legenda gagal mencipta nama mereka sendiri kerana tekanan daripada ayah ataupun saudara mereka yang sudah meletakkan nama keluarga mereka terlalu gah.

Namun Kasper ternyata berjaya mencipta namanya sendiri walaupun tidak sehebat pencapaian ayahnya. Namun Kasper Schmeichel adalah Kasper Schmeichel yang mencipta sejarah beliau sendiri.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN