Apa Yang Boleh Kita Pelajari Daripada Kesilapan Houllier & Benitez Dalam Strategi Pembelian Pemain

Menulis dalam autobiografinya yang bertajuk Carra, Jamie Carragher pernah membuat rumusan menarik (dan lucu) mengenai strategi perpindahan pemain bekas bosnya, Gérard Houllier dan Rafa Benitez.

Menurut Carragher:

1) “Sean Dundee tak layak dipanggil pemain Liverpool”.

2) “Sander Westerveld adalah penjaga gol sederhana yang perasan dirinya adalah Gordon Banks.”

3) “Josemi sukar membuat hantaran kepada rakan sepasukan yang hanya berada 6 ela daripadanya. Djimi Traore pun ada kelemahan sama.”

4) “Jika saya benar-benar jujur, saya akan kata (Christian) Ziege langsung tak boleh tolong Liverpool bertahan.”

5) “Perkara pertama yang saya risau tentang (Salif) Diao adalah kelajuannya. Dia tidak mempunyai kelajuan langsung.”

6) “Ingat tak masa sekolah dulu kita selalu pilih-pilih kawan untuk masuk pasukan kita? Kami selalu buat perkara sama ketika main five-a-side. (El-Hadji) Diouf sentiasa menjadi pemain terakhir dipilih. Saya pernah berkata kepada Gerrard: Orang bayar 10 juta untuk Diouf, tapi tiada siapa pun mahukannya dalam pasukan mereka.”

7) “Jika Diouf pemain yang mengecewakan, Diao adalah bencana.”

8) “Tapi bagi saya Diao bukanlah pemain paling teruk Liverpool pernah ada. Pada tahun 2002, Houllier bawa masuk Bruno Cheyrou.”

9) “Pada 2004, Liverpool memecah rekod yuran perpindahan kelab apabila menandatangani Djibril Cisse dengan harga £14 juta. Dia sepatutnya jadi penyerang kuat, target man yang menjaringkan gol. Beliau gagal kedua-duanya.”

10) “Kekecewaan terbesar adalah Fernando Morientes. Dia tiada kelajuan.”

Bagaimana untuk menjadi efisien dalam strategi perpindahan pemain?

Pada musim panas 2008, Rafa Benitez membayar £20 juta kepada Tottenham Hotspurs untuk membawa masuk Robbie Keane ke Liverpool.

Pada tahun 2009 pula, syarikat kereta api Virgin Trains mengeluarkan iklan surat khabar yang jelas membuat lawak terhadap kegagalan Robbie Keane di Liverpool.

Keane yang juga merupakan penyokong Liverpool, kemudian dijual balik ke Spurs 5 bulan kemudian pada harga £12 juta selepas Benitez mendapati Keane bukanlah penyerang yang dicarinya.

Dalam masa 5 bulan, Benitez telah membuatkan Liverpool rugi £8 juta.

Di sebalik belanja besar yang dilaburkan oleh Liverpool, kebanyakan pemain Liverpool yang hebat adalah pemain homegrown seperti Steven Gerrard, Jamie Carragher, Michael Owen, dan pemain murah seperti Sami Hyppia dan John Arne Riise.

Dan di sebalik belanja besar ini, Houllier dan Benitez masih gagal menjadikan Liverpool juara liga. Mereka berdua mungkin dimaafkan oleh penyokong Liverpool atas kejayaan di peringkat Eropah.

Tetapi tujuan utama anda berbelanja besar dalam jendela perpindahan adalah untuk mencabar kejuaraan liga. Bukannya sekadar menang 10 perlawanan dalam kejohanan piala.

Sepanjang tempoh 6 tahun Benitez di Liverpool, Benitez sebenarnya sudah menghabiskan £122 juta lebih daripada apa yang diterimanya dari segi yuran perpindahan pemain.

Dalam tempoh yang sama, Sir Alex Ferguson hanya menghabiskan £27 juta dan menang 3 kejuaraan liga. Arsene Wenger pula menjana pendapatan tambahan untuk kelabnya sebanyak £27 juta.

Jadi persoalannya di sini, apakah strateginya untuk:

  • mengelak duit yang kelab ada tidak dibazirkan kepada tandatangan pemain yang sederhana?
  • dalam pada masa yang sama, mampu menguatkan pasukan sehingga menjadi juara liga?

Yuran perpindahan vs gaji

Sekali lagi, kami memetik tulisan Jamie Carragher dalam buku autobiografinya:

“Mempunyai duit bukanlah jaminan kejayaan. Kuncinya adalah membelanjakan duit tersebut kepada pemain yang betul.”

Berdasarkan kajian wartawan Simon Kuper dan pakar ekonomi bola sepak Stefan Szymaski dalam buku Soccernomics, jika pasukan mahu menang lebih banyak perlawanan liga – mereka perlu membelanjakan duit mereka kepada bajet gaji pasukan.

Bukannya kepada bajet yuran perpindahan pemain.

Menurut kajian mereka dalam data 2 liga – Premier League dan Championship – dari tahun 1991 hingga 2010, semakin besar saiz bajet gaji sesebuah pasukan, semakin tinggi kedudukan liga mereka.

Ketepatan variasi data (nilai R-squared jika anda belajar statistik) mereka mencecah sehingga 87%!

Sebaliknya apabila Soccernomics mengkaji kaitan saiz yuran perpindahan pemain dengan kedudukan liga, ketepatan variasi data hanya menunjukkan nilai 16%.

Ini bermakna semakin besar yuran perpindahan yang dibayar oleh sesebuah pasukan, ia tidak bermakna kedudukan pasukan tersebut di liga akan lebih tinggi.

Mengapa kajian ini relevan di Malaysia

Mana-mana pasukan yang ingin memanfaatkan hasil kajian Soccernomics pastinya akan mempunyai satu lagi soalan susulan:

Bagaimana kami nak menarik pemain bagus kalau kami tak membayar yuran perpindahan yang tinggi?

Ya, untuk menarik pemain bagus (yang selalunya bergaji tinggi) anda perlu membayar yuran perpindahan yang tinggi. Inilah yang dilakukan oleh Chelsea, Manchester City, Real Madrid dan Bayern Munich untuk menang liga.

Di Malaysia, ini jugalah yang dilakukan oleh 3 pasukan yang mempunyai keupayaan kewangan yang kuat dalam Liga Super – JDT terutamanya – untuk mendominasi aksi liga.

Tetapi bagi pasukan-pasukan lain yang mempunyai bajet gaji yang terhad, kami tak faham mengapa mereka masih mahu mendapatkan 4 pemain import juga?

Mengapa beria-ia mendapatkan 4 pemain import sederhana jika mereka boleh menggunakan bajet gaji 4 pemain import tersebut untuk mengekalkan 2 pemain import berkualiti mereka?

Dan mengapa semua pasukan Liga Super yang mempunyai bajet terhad berkeras mahukan 4 pemain import juga?

Bukankah lebih baik jika bajet gaji 4 pemain import sederhana itu digunakan untuk membawa 1-2 pemain import yang benar-benar berkualiti?

Semakin banyak kami membaca dan belajar ilmu-ilmu baru, semakin banyak kepincangan yang kami nampak dalam bola sepak Malaysia.

Masalah bola sepak kita bukanlah tiada duit. Sebaliknya masalah kita adalah; duit yang kita ada, tidak dibelanjakan dengan cekap.

Sumber:

1. Matthew Fearon (2009). How Liverpool’s transfer spending compares. The Sunday Times. http://www.thesundaytimes.co.uk/sto/sport/football/Premiership/article188661.ece

2. Kuper S., Szymanski S. (2012). Soccernomics. HarperSport. ISBN 978-0-00-745784-7

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN