Lewat petang semalam, 20 pemain skuad B-23 Malaysia telah tiba di bumi Indonesia bagi mengibarkan cabaran skuad negara di Sukan Asia bermula pada 15 Ogos ini.
Daripada senarai 20 pemain yang dipilih itu, 4 pemain dilihat tidak pernah tersenarai dan beraksi dalam dua kejohanan utama bersama-sama skuad Datuk Ong Kim Swee sebelum ini.
Dua kejohanan yang telah disertai oleh Kim Swee adalah Sukan SEA 2017 di Singapura dan juga Kejohanan AFC B-23 yang berlangsung di Jiangsu, China pada Januari lalu.
Sementara 4 pemain tersebut pula adalah kapten dan juga pemain lebih umur, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali serta Faisal Halim dan juga Rodney Celvin Akwensivie.
Untuk rekod, Baddrol dan Rizal juga tidak pernah tersenarai dalam edisi sebelum-sebelum ini dan ini menjadikan kesemua pemain kali ini julung kali beraksi di Sukan Asia.
Berdasarkan dua kejohanan yang dilalui sebelum ini, Semuanya BOLA akan melihat mengenai gambaran senarai pemain utama yang bakal menjadi sandaran Kim Swee.
Sukan SEA vs Kejohanan AFC B-23
Seperti yang diketahui umum, formasi kegemaran Kim Swee yang pastinya akan menjadi pilihan adalah 3-4-3. Jadi, penulis menyenaraikan pemain berdasarkan formasi tersebut.
Untuk Sukan SEA, Malaysia mara sehingga ke pentas final sebelum dikecewakan Thailand sementara ketika di saingan AFC B-23, Malaysia dikecewakan Korea Selatan di suku akhir.
Rajah di atas menunjukkan senarai pemain yang sering tersenarai kesebelasan utama ketika saingan Sukan SEA 2017. Hingga ke final, Malaysia terlibat dalam 6 perlawanan.
Angka di dalam bulatan kuning tersebut adalah jumlah penampilan dalam kesebelasan utama pemain-pemain tersebut.
Sementara rajah bawah pula adalah senarai pemain yang beraksi sepanjang empat perlawanan di Kejohanan AFC B-23 daripada peringkat kumpulan sehingga ke suku akhir.
Kapten, Adib Zainudin dan Irfan Zakaria adalah dua pemain kepercayaan Kim Swee apabila tersenarai sebagai pemain utama dalam keenam-enam perlawanan di Sukan SEA.
Kedua-dua pemain pertahanan tersebut telah digandingkan bersama Adam Nor Azlin, Matthew Davies dan Syazwan Andik. Malaysia hanya bolos 5 gol dalam 6 perlawanan.
Namun pola tersebut berubah sedikit ketika saingan AFC B-23, Januari lalu apabila Adib tidak lagi berada dalam kesebelasan utama dan posisinya diambil alih oleh Dominic Tan.
Posisi tengah pula menyaksikan Nor Azam Azih adalah tonggak utama dan pasangannya sahaja yang berubah iaitu dari Syamer Kutty Abba kepada Danial Amier Norhisham.
Untuk rangkaian tiga serangkai di jentera serangan, Safawi Rasid adalah fokal utama kekuatan negara. Kehadirannya memberi impak bagi menggerakkan jentera hadapan.
Di Kejohanan AFC B-23, Safawi merupakan penjaring utama dengan merekodkan 2 gol daripada 4 penampilan dan di Sukan SEA, dia meledak 2 gol daripada 5 penampilan.
Satu lagi pola yang dapat dilihat di saingan AFC B-23, 8 pemain terlibat dalam semua perlawanan dan itulah kekuatan skuad ini sehingga melakar sejarah layak ke suku akhir.
Kim Swee kehilangan khidmat 3 daripada 8 pemain tersebut untuk Sukan Asia kali ini iaitu Davies di posisi wingback kanan serta gandingan Azam dan Danial di jentera tengah.
Di mana kedudukan pemain baharu?
Untuk posisi penjaga gol dan tiga pertahanan tengah, rasanya tiada perdebatan kerana Kim Swee memiliki pemain-pemain terbaik di dalam poketnya untuk posisi tersebut.
Haziq Nadzli, Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria dan Dominic Tan telah membentuk kesefahaman utuh bersama terutamanya ketika bergandingan di saingan AFC B-23 tempohari.
Posisi wingback kiri pula milik tetap Syazwan Andik sementara di sebelah kanan, Kim Swee membawa pemain skuad senior Rizal Ghazali sebagai gantian langsung kepada Matthew Davies.
Adakah Rizal mampu hadirkan servis yang baik sebagaimana Davies? Berdasarkan aksi menentang UAE baru-baru ini, banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan olehnya.
Di jentera tengah, kita bakal melihat wajah baharu antara kapten, Baddrol Bakhtiar dan Nik Akif Syahiran. Malaysia perlu segera membiasakan diri dengan ‘jantung’ baharu mereka ini .
Apa yang dapat dilihat ketika menang ke atas UAE adalah aksi meyakinkan Nik Akif mengimbangi jentera tengah dan seperti sentuhan Azam masih diperlukan.
Baddrol mungkin di bawa atas tiket pengalamannya serta keperluan posisi tersebut sementara Nik Akif adalah tonggak B-19 yang menjuarai Kejohanan AFF baru-baru ini.
Kim Swee sentiasa melibatkan Jafri Firdaus Chew di jentera serangan, namun akibat kecederaan, dia kini terpaksa disisihkan bersama-sama wira Sukan SEA, N. Thanabalan.
Sebagaimana di saingan AFC B-23 yang lalu, Akhyar Rashid pastinya akan disenaraikan oleh Kim Swee sebagai salah seorang rangkaian tiga serangkai di jentera serangan.
Siapa yang akan bersama Safawi dan Akhyar di posisi serangan? Syafiq Ahmad sebelum ini juga ada terlibat seperti di Sukan SEA namun tiada jaringan mampu dijelmakannya.
Berbanding Syafiq, Hadi Fayyadh Abdul Razak memiliki CV yang menarik ketika bersama skuad B-19. Hadi Fayyadh turut berada di dalam skuad yang menjuarai AFF B-19.
Dia juga cemerlang membantu skuad tersebut layak ke Kejohanan AFC B-19 dalam saingan kelayakan di Korea Selatan tahun lalu. Dia telah menjaringkan 3 gol dalam 4 penampilan.
Dapat disimpulkan, ini mungkin adalah senarai kesebelasan utama untuk Sukan Asia nanti berdasarkan dua kejohanan sebelum ini:
Penjaga Gol: Haziq Nadzli
Pertahanan: Adam Nor Azlin, Dominic Tan, Irfan Zakaria
Tengah: Syazwan Andik, Rizal Ghazali, Baddrol Bakhtiar, Nik Akif Syahiran
Penyerang: Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Hadi Fayyadh
Apa masalah yang boleh dijangkakan?
Jelas, jentera tengah tersangat lompong ketika ini. Jika sebelum ini Kim Swee memiliki pilihan di tangannya, paling kurang 4 pemain boleh beraksi di posisi tersebut.
Kini dia hanya boleh bergantung kepada dua pemain sahaja untuk posisi tersebut iaitu Baddrol Bakhtiar dan Nik Akif Syahiran sepanjang kejohanan berlangsung.
Ketika di Sukan SEA, Kim Swee memiliki 4 pilihan pemain iaitu Nor Azam Azih, Syamer Kutty Abba, Danial Amier Norhisham dan juga Amirul Hisyam Awang Kechik.
Begitu juga ketika di saingan AFC B-23 di China tempohari, dia memiliki Azam, Syamer Kutty, Danial Amier dan Nik Akif untuk dipilih bagi mengisi slot pemain tengah.
Jika Baddrol dan Nik Akif mengalami kecederaan atau penggantungan, adakah Kim Swee telah bersedia dengan Pelan B untuk mengisi secara ‘sambilan’ posisi tersebut?
Kim Swee yang ditemui TV3 malam tadi sebelum berangkat ke Jakarta menjelaskan dia memiliki pemain yang mampu beraksi di banyak posisi termasuklah jentera tengah.
Penutup
Ini adalah pendapat penulis mengenai gambaran kesebelasan utama skuad B-23 negara yang bakal beraksi di Sukan Asia 2018 bermula pada esok menentang Kyrgyzstan.
Walaupun jentera tengah mungkin akan berdepan masalah, namun jika Kim Swee berjaya mengawal situasi tersebut, mungkin rezeki akan memihak kepada skuad negara.
Mungkin inspirasi daripada pencapaian di Kejohanan AFC B-23 boleh dijadikan pemangkin kepada skuad ini untuk menghasilkan sesuatu yang boleh kita banggakan.
Pencapaian terbaik Sukan Asia adalah pada edisi 1962 dan 1974 apabila skuad negara meraih pingat gangsa. Adakah skuad yang ditampilkan kali ini mampu pergi sejauh itu?
Atau sekadar menyamai pencapaian layak ke pusingan 16 terbaik seperti edisi 2010 yang telah dicapai oleh Khairul Fahmi Che Mat, Safiq Rahim dan Norshahrul Idlan Talaha.