‘Kesayangan Baharu JDT’ – Kisah ‘Wing-Back’ Dari Selangor Yang Jadi Tunjang Harimau Selatan

Sudah menjadi lumrah untuk seorang pemain bola untuk berpindah dari satu kelab ke kelab yang lain. Perkara itu tidak terkecuali di saingan Liga Malaysia.

Semuanya adalah untuk mencari angin baharu dalam karier mereka. Atau mungkin ia adalah usaha untuk terus mengembangkan karier untuk pergi lebih jauh lagi  – yakni mengejar piala menerusi kelab yang lebih baik.

Perkongsian terbaru JDT melalui rangkaian media sosial kelab itu semalam, sempat memaparkan keintiman pemilik kelab, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) berjalan bersama-sama Syahmi Safari – bekas bek kanan dan kapten Selangor FC.

Ia bukan sahaja kelihatan akrab, walaupun pemain itu baru sahaja menyertai JDT beberapa minggu yang lalu. Malah melalui foto tersebut, Syahmi dilihat seperti ‘kesayangan baharu keluarga JDT’.

Hakikatnya Syahmi Safari bukan satu-satunya pemain dari Selangor yang pernah menyertai JDT. Kebanyakan daripada mereka menyerlah dan menjadi legenda kelab dari selatan tanah air itu – indikasi jelas pengurusan profesional dimiliki kelab tersebut.

Di posisi bek sayap, Syahmi Safari juga bukan pemain pertama kelahiran Selangor yang bergelar pemain Harimau Selatan. Malah ia adalah posisi paling popular untuk diisi oleh bakat dari negeri tersebut.

Selain Syahmi, berikut adalah tiga lagi pemain bek sayap dari Selangor yang kini bergelar wira JDT.

Mahali Jasuli

Mahali Jasuli adalah antara pemain terawal yang dibawa masuk oleh JDT untuk merevolusikan bola sepak di negeri Johor di bawah kepimpinan TMJ.

Mahali di permulaan kariernya menunjukkan prestasi yang memukau ketika beraksi untuk pasukan Selangor dan memainkan peranan penting dalam kejayaan Malaysia menjulang Piala AFF pada 2010.

Aksi cemerlangnya bersama Gergasi Merah telah menarik perhatian pasukan JDT dan beliau kemudiannya dilamar menyertai pasukan tersebut pada 2014.

JOHOR BAHRU 01 MARCH 2016. Pemain Johor DT Mahali Jasuli dapat melepasi kawalan pemain Felda United Lutfullah Turaev pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. NSTP/ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN

Sepanjang bersama JDT, Mahali sempat merangkul lima kejuaraan Liga Super, dan satu Piala FA selain kejayaan di pentas Asia di pertandingan Piala AFC pada 2015.

Kontrak beliau bersama JDT bagaimana pun tidak disambung untuk musim 2018. Walaupun dianggap pemain veteran, Mahali masih lagi aktif bermain dan kini bersama PJ City FC.

S. Kunanlan

Tidak seperti pemain lain di dalam senarai ini, menariknya S. Kunanlan memulakan karier sebagai pemain sayap kanan ketika bersama Selangor. Bagaimana pun perubahan berlaku ketika beliau menyertai JDT, dan posisi bek sayap kanan dilihat lebih sesuai untuk pemain ini.

Menyertai JDT dari Selangor pada 2015, S. Kunanlan adalah bek kanan moden paling berjaya di dalam sejarah Liga Malaysia setelah mengecapi pelbagai kejayaan bersama kelab dari selatan tanag air itu, seperti Liga Super 2015-2021, Piala FA 2016, Piala Sumbangsih 2015-2016, 2018,2019, Piala AFC 2015, Piala FA 2016 dan juga Piala Malaysia 2017.

S.Kunanlan & Zar Rahan – kredit gambar : asiana.my

Musim ini adalah musim ke-16 S. Kunanlan bergelar pemain profesional dan beraksi di Liga Malaysia. Walaupun JDT semakin dibanjiri oleh pemain yang lebih muda, keringat dan pengalaman pemain berusia 35 tahun itu tetap berada di dalam perancangan Benjamin Mora.

Buktinya pada musim lalu, beliau masih turun beraksi di dalam 14 perlawanan di semua pertandingan untuk skuad Harimau Selatan. S. Kunanlan boleh disifatkan sebagai antara perpindahan paling berbaloi JDT pernah lakukan.

Azrif Nasrulhaq

Nama Azrif Nasrulhaq mulai ‘meletup’ dan menjadi bualan ramai peminat bola sepak di Malaysia ketika bersama Selangor. Bekas pemain skuad Harimau Muda itu kemudiannya menyertai JDT pada musim 2016.

Perpindahan Azrif ke JDT pernah mencipta sensasi sendiri apabila pengurus Selangor pada ketika itu, Amirudin Shari meletakkan nilai tebus kontrak RM720,000.

JDT

Perpindahan pemain itu bagaimana pun menjadi kenyataan pada 14 Julai 2016 selepas persetujuan dicapai antara JDT dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Merupakan seorang bek kiri yang memiliki aspek teknikal yang sangat baik, Azrif juga mampu beraksi di posisi bek kanan saat diperlukan. Fleksibiliti pemain ini menjadikan beliau sebagai aset penting JDT – terutama saat kecederaan melanda pemain utama.

Rumusan

Sehingga kini semua tiga pemain bek sayap dari Selangor yang berhijrah ke JDT dilihat telah melalui karier yang amat baik. Kini terpulang kepada Syahmi Safari sendiri untuk mencorak masa depan dan hala tuju kariernya.

Tidak dinafikan, keputusan Syahmi untuk menyertai JDT pada musim ini dianggap sebagai langkah berani kerana perlu bersaing dengan pemain-pemain hebat yang lain seperti Matthew Davies atau pun Corbing Ong.

Tanpa mentaliti untuk pergi lebih jauh, kami yakin Syahmi tidak akan memilih untuk berhijrah dan akan sentiasa terus berada di zon selesa seperti sebelum ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN