Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor (TMJ) tampil dengan kenyataan sangat ‘pedas’ semalam apabila baginda dikatakan seolah menyindir kelab seteru, Selangor.
Terdahulu, baginda juga tampil memberi komen di laman MakanBola jika kejohanan Piala Sultan Selangor mendapat iktiraf daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sebelum ingin menyertai.
“FIFA iktiraf tak piala piala ni? Kalau iktiraf nak join,” komen baginda mengenai perkara tersebut dan mendapat banyak maklum balas dalam kalangan netizen lain.
Selain itu, TMJ turut memuat naik kenyataan di Instagram peribadi baginda dengan seolah mempersoalkan kejohanan tersebut sehingga dikongsikan ramai netizen lain pada media sosial masing-masing.
Jelas TMJ, bola sepak Malaysia hanya memberi pengiktirafan piala kepada Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, dan Piala Perisai selain turut menyenaraikan kelayakan untuk pentas antarabangsa membabitkan Liga Super dan Piala FA sahaja.
“Kalau buat piala syok sendiri dan raikan macam menang Piala rasmi, saya akan buat Piala Daddy, dan Piala cap susu mulai tahun depan. Pasukan lawan kena cari yang lemah lemah. Yang pelik takda perasaan malu. Kes kronik syok sendiri,” tajam kenyataan daripada TMJ.
Umum mengetahui skuad kendalian Nidzam Jamil sebelum itu baru sahaja selesai mengharungi kejohanan Piala Sultan Selangor yang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Pada saingan tersebut, Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan mereka sejak 2018 untuk mengatasi Pilihan Singapura menerusi kemenangan 2-1 hasil jaringan Ronnie Fernandez serta Alvin Fortes.
Ini juga menjadikan Selangor sebagai pasukan paling banyak memenangi kejohanan tersebut apabila mereka sudah merekodkan kejuaraan sebanyak 11 kali sejak ia ditubuhkan pada tahun 2001.
Setakat ini, The Red Giants telah pun memperoleh tiga kejuaraan sejak pramusim dan ini merupakan momentum terbaik sebelum mereka menghadapi juara bertahan, JDT di pentas akhir Piala FA.
Aksi yang bakal berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dijangka bakal tampil dengan sengit kerana kedua pasukan kini berada dalam prestasi menyakinkan.
Malah, perang psikologi kedua penyokong pasukan ini juga semakin rancak di media sosial dan jangkaan kami mereka bakal memenuhi SNBJ pada Sabtu akan datang untuk memberi sorakan padu sepanjang saingan berlangsung.
Jangkaan anda, pasukan mana bakal menjuarai kejohanan Piala FA untuk musim ini?