Quantcast

KOMUNITI

Kerteh FC Terus Mengorak Langkah, Dapat Tajaan Daripada 139 Lanera Consulting

Kelab bola sepak komuniti dari Terengganu, Kerteh FC nampaknya semakin serius dalam meningkatkan perkembangan bola sepak buat kelab tersebut apabila telah menjalinkan hubungan dengan syarikat berasaskan insurans,139 Lanera Consulting.

Untuk pengetahuan semua, 139 Lanera Consulting merupakan rakan insurans rasmi buat dua pasukan Liga Super 2019 iaitu Kuala Lumpur FA dan Felda United.

Menurut sumber Facebook rasmi Kerteh FC, jalinan kerjasama tersebut adalah meliputi penajaan dari pihak Lanera Consulting dalam menyediakan sebuah Pusat Perkembangan Karier Lanera-Kerteh FC sebagai pusat operasi harian kelab.

Kerjasama penajaan antara Kerteh FC dan syarikat yang beroperasi di Kuala Lumpur itu dilaporkan akan berakhir pada tahun 2022.

Perkara menarik hasil persetujuan daripada kerjasama erat ini adalah pihak penaja tersebut juga telah menyatakan persetujuan untuk menyediakan peluang pekerjaan buat anak-anak kelahiran Kerteh dan sekitar ketika 139 Lanera Consulting mengembangkan sayap operasi mereka di Pantai Timur.

Dalam pada itu, 139 Lanera Consulting turut akan terlibat secara langsung dalam mempromosikan entiti kebajikan ‘Kerteh Care’ yang nyata bakal memberikan manfaat buat pendudukan sekitar.

Majlis menandatangani perjanjian di antara kedua-dua pihak telah berlangsung semalam dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Adzlan M Nerus mewakili 139 Lanera Consulting.

Sebelum ini, Kerteh FC telah menjalinkan kerjasama dengan satu lagi jenama 139 iaitu 139 Associates yang berperanan selaku penaja utama liga bola sepak kendalian Kerteh FC iaitu Kemasik Amateur League.

Ternyata usaha demi usaha yang dilakukan pengurusan tertinggi Kerteh FC memperlihatkan The Oilers sememangnya serius dalam meningkatkan taraf bola sepak di Kerteh dan kawasan sekitarnya!