Kelab komuniti Terengganu, Kerteh FC yang terkenal dengan usaha keras mereka dalam meningkatkan perkembangan bola sepak di kawasan Kerteh turut tidak melupakan pembangunan akar umbi.
Ia dibuktikan dengan kewujudan Kerteh FC Soccer School yang memberikan peluang buat pemain cilik untuk lebih dekat dengan sukan paling popular di dunia itu.
Bagi melahirkan pemain yang bermula dari peringkat akar umbi, beberapa elemen menarik diterapkan pihak pengurusan dan kejurulatihan Kerteh FC dalam usaha menjayakan misi ini.
Berdasarkan posting terbaru di laman Twitter Kerteh Football Club, kelab tersebut menekankan elemen yang menyeronokkan dan tidak terlalu memberikan tekanan terhadap pemain cilik ini.
Antara yang dikongsikan oleh Kerteh FC adalah ‘enjoy’ bermain untuk diri sendiri dan bukan semata-mata untuk menggembirakan ibu bapa atau jurulatih. Ia membawa maksud pemain-pemain ini dididik untuk bermain bola sepak sepenuh jiwa [kehendak sendiri] dan bukan atas paksaan mana-mana pihak.
Selain itu, pemain-pemain ini juga dilatih untuk belajar dan menghormati peraturan permainan dan peraturan kumpulan. Ini sekaligus dapat menjadi pembelajaran secara tidak langsung buat mereka supaya lebih peka terhadap peraturan dan memupuk adab serta kerjasama berada dalam satu pasukan.
Dalam masa yang sama, para pemain juga akan lebih memiliki sikap hormat-menghormati sesama rakan sepasukan.
🥅 Kerteh FC Soccer School ⚽️ Mereka dididik:
1. Enjoy bermain untuk diri sendiri dan bukan semata-mata untuk menggembirakan ibu bapa atau jurulatih.
2. Menikmati nikmat bermain bola sepak dan berkembang melalui bola sepak. pic.twitter.com/aUMAqo6CUk
— Kerteh FC (@KertehFC) August 28, 2019
Elemen santai serta memberikan banyak pengajaran berguna yang dipraktikkan oleh kelab komuniti ini dilihat mampu menjadi petunjuk jelas bagi menarik minat pemain cilik dalam mengajar mereka lebih menghargai dan menikmati bola sepak dari peringkat awalan.
Kredit foto: Kerteh FC