Beberapa hari lalu kelab komuniti Terengganu, Kerteh FC telah memperkenalkan jersi ketiga dengan menampilkan merah sebagai warna pilihan buat jersi yang dikeluarkan oleh ELklasiko.My itu.
Menurut sumber laman Facebook Kerteh FC, warna merah garang dipilih sebagai inspirasi daripada warna api yang terdapat pada logo rasmi kelab tersebut.
Sejajar dengan peranan sebagai jersi ketiga, elemen warna hijau yang sinonim dengan Kerteh FC langsung tidak kelihatan pada persalinan lengkap keluaran terbaharu ini.
Ia menyaksikan kombinasi merah sebagai asas dan digandingkan bersama warna putih di bahagian atas lengan dan bahu untuk menampakkan jersi ini lebih menarik.
Jersi ini juga turut akan dipadankan dengan seluar serta stokin yang keseluruhannya berwarna merah.
Logo barisan penaja yang memiliki hubungan yang cukup erat dengan Kerteh FC juga turut diletakkan di bahagian hadapan dan belakang jersi bersama-sama logo pasukan.
Dengan kualiti material yang baik, jersi ini dikhabarkan ringan dan lembut pada kulit membuatkan si pemakai akan merasa sangat selesa menggayakan jersi ini.
Di samping jersi yang menarik, harga yang berpatutan juga mampu untuk menarik minat sesiapa yang ingin mendapatkan jersi ketiga Kerteh FC ini.
Jersi ketiga ini akan dijual dengan harga RM60.00 dan pada yang ingin memiliki jersi tersebut, anda boleh menghubungi wakil pasukan di Facebook rasmi Kerteh FC.