Quantcast

KOMUNITI

Kerteh FC: Jalinan Kerjasama Dengan 139 Lanera Mula Jelmakan Impak Positif Buat Belia Di Kerteh

Langkah jalinan kerjasama antara kelab bola sepak komuniti Terengganu, Kerteh FC bersama 139 Lanera Consulting sudah mula menampakkan hasil positif.

Ia bertepatan dengan perjanjian pihak Kerteh FC dengan syarikat berasaskan insurans pada pertengahan Jun lalu itu dalam memberikan peluang pekerjaan buat anak-anak Kerteh.

Ternyata ia bukanlah satu omong kosong apabila Lanera 139 pantas menunaikan janji mereka setelah lapan belia di komuniti Kerteh telah diberikan peluang untuk membina kerjaya apabila ditawarkan jawatan Perunding Kewangan.

Lebih menarik, lapan belia tersebut terdiri daripada pemain kelab Kerteh FC dan juga belia dari komuniti Kerteh sendiri.

Dalam melahirkan pekerja yang cekap dan efisien, Lanera dikhabarkan turut akan menyediakan latihan secara percuma bagi melengkapkan ilmu buat perintis tersebut bagi menghadapi alam pekerjaan sebagai Perunding Kewangan.

Ternyata jalinan kerjasama yang dimeterai kedua-dua pihak memberikan situasi ‘menang-menang’ buat Kerteh FC dan Lanera 139 Consulting.

Peluang yang diberikan Lanera 139 seharusnya digunakan sepenuhnya lapan orang belia tersebut dalam membina kerjaya mereka yang lebih cemerlang.

Diharapkan juga langkah ini dapat terus membuka mata pihak serta pasukan lain dalam melihat perkembangan positif yang boleh dijelmakan daripada perjanjian penajaan dilakukan sesebuah pasukan.