Kerana Tiada Pilihan Ronaldo ‘Terpaksa’ Kekal Di Old Trafford

ada tag: onefootballxapple

Selepas sebulan lebih hangat dikaitkan dengan perpindahan bakal meninggalkan Old Trafford, Ronaldo kini dilaporkan ‘terpaksa’ terus kekal bersama Manchester United pada musim baharu ini nanti.

Nama Ronaldo sentiasa menjadi tajuk utama media sukan seluruh dunia sejak dari awal beliau mengumumkan yang beliau mahu meninggalkan Man United pada musim panas ini.

Pada awal bulan lalu, Cristiano Ronaldo menggemparkan dunia bola sepak selepas beliau secara terbuka mengumumkan yang beliau mahu meninggalkan Man United seandainya ada kelab yang berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

Selain dari mahu beraksi di pentas saingan Champions League, Ronaldo dilaporkan mahu meninggalkan kelab kerana beliau menganggap Man United tidak bercita-cita tinggi.

Legenda Portugal itu mengeluarkan kenyataan tersebut selepas melihat kelab terlalu membuang masa untuk mendapatkan pemain baru pada jendela perpindahan musim panas ini.

Walau bagaimanapun, selepas bekas bintang Real Madrid dan Juventus itu mengeluarkan kenyataan tersebut, Man United dilihat mula bergerak dengan lebih aktif dalam pasaran pemain.

Bermula dengan Tyrell Malacia, Man United kemudiannya berjaya mendapatkan khidmat Christian Eriksen sebagai pemain bebas ejen dan Lisandro Martinez dari Ajax.

Di bawah kendalian Erik ten Hag, Manchester United berjaya melalui aksi pra-musim mereka dengan sangat sempurna.

Skuad Red Devils itu berjaya mencatatkan tiga kemenangan dan hanya merekodkan satu keputusan seri sahaja.

Manchester United dari dianggap sebagai pasukan yang akan sekadar bergelut merebut kedudukan empat teratas, kini dianggap sebagai calon kegemaran untuk muncul juara.

Tiada kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat Ronaldo

Ketika Man United sedang melalui detik kegemilangan mereka pada ketika ini, Ronaldo pula sepertinya bergelut untuk mencari majikan baru untuknya.

Ejen beliau, Jorge Mendes gigih berusaha untuk mencari kelab terbaru untuk Cristiano Ronaldo pada musim baharu nanti.

Beliau dilaporkan turut sudah berjumpa beberapa pemilik kelab untuk berunding berkait masa hadapan Cristiano Ronaldo.

Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu juga turut dikaitkan dengan pelbagai kelab pada jendela perpindahan musim panas ini.

Chelsea, Napoli, Bayern Munich dan Atletico Madrid merupakan empat pasukan yang paling hangat dikaitkan dengan bintang Portugal itu.

The Blues dan Napoli terlebih dahulu menarik diri dari terus dikaitkan dengan Cristiano Ronaldo.

Terbaru, giliran Atletico Madrid dan Bayern Munich pula yang menafikan dakwaan bahawa Ronaldo akan menyertai mereka pada musim panas ini.

Kedua-dua kelab itu bahkan menganggap yang sememangnya tidak masuk akal untuk terus mengaitkan bintang United itu dengan mereka.

Melissa Reddy dedah kerana tiada pilihan Ronaldo ‘terpaksa’ kekal di Old Trafford

Menurut laporan dari Melissa Reddy, dek kerana sudah tiada pilihan lain, maka Ronaldo terpaksa untuk kekal bersama Manchester United pada musim baharu ini.

“Akhirnya, Ronaldo ada menyatakan keinginan dia untuk meninggalkan Old Trafford, tapi dia sekarang tiada pilihan lain, dan sepertinya dia terpaksa untuk terus kekal.”

Kenyataan dari Melissa Reddy itu dianggap masuk akal kerana Ronaldo kini dilihat sudah kembali menyertai skuad Red Devils di Carrington pada minggu ini.

Walau beliau tidak menyertai skuad untuk aksi pra-musim, beliau kini sudah mula kembali untuk menyertai skuad dan beliau juga turut sudah mengadakan perjumpaan dengan pengurus kelab, Erik ten Hag.

Ketika artikel ini ditulis, masih tiada kelab yang menyatakan minat mereka untuk mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo dan sepertinya bintang Portugal itu sememangnya akan terus kekal bersama kelab walau hatinya meronta-ronta mahu keluar.

Leave a Reply