‘Kerana PKPB Kami Yang Pertama Ditutup, Yang Terakhir Dibuka’

Pengumuman kerajaan pada 12 Oktober lepas yang mengarahkan seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggu, ibarat tumbukan – bukannya tamparan lagi – kepada pemain industri sukan.

Daripada pemain, pengadil, jurulatih, jurugambar, pengelola peringkat bola sepak akar umbi, amatur dan semi-profesional hinggalah kepada pengurus operasi padang bola sepak – semuanya ‘terduduk’ selepas mendengar pengumuman tersebut.

Di mata orang yang tak memahami, bola sepak hanyalah satu jenis aktiviti sukan seperti berjalan, berbasikal dan jogging. Apa salahnya ditutup sekejap selama dua minggu?

Tetapi bagi pengurus operasi padang bola sepak Nadzry Abu Bakar, PKPB kali kedua membuatkan beliau sudah mengangkat bendera putih. Harapannya untuk cuba menstabilkan kembali simpanan kewangan syarikatnya yang susut teruk akibat penutupan operasi selama lima bulan sebelum ini perlu dibawa ke tahun 2021 pula.

“Kami pun baru mula beroperasi pada pertengahan Januari 2020. Belum cukup dua bulan, kami dah kena tutup padang selama lima bulan. 

“Keutamaan kami pada masa itu adalah mengekalkan staf kami yang kebanyakannya graduan baru universiti. Sebolehnya kami tak nak runtuhkan semangat mereka. 

Nadzry berjaya mengekalkan stafnya walaupun menurutnya, beliau dan rakan perniagaannya terpaksa ‘menderita’. 

“Lima bulan tanpa operasi betul-betul mengosongkan simpanan tunai syarikat kami.”

Syarikat Nadzry, Arena Legacy yang mengurus operasi tiga padang bola sepak di Bukit Jelutong, Sungai Buloh dan Seksyen 26 Shah Alam dapat ‘merangkak’ semula selepas dibenarkan beroperasi pada Julai lepas.

Nadzry Abu Bakar (tiga dari kiri) ketika majlis pelancaran padang Gamuda Gardens, Sungai Buloh pada Disember 2019 (Foto: Noah Ismail Wong)

Kerancakan aktiviti bola sepak pada bulan Ogos dan September membuatkan beliau optimis semula. Tetapi rasa optimisnya ranap selepas PKPB diumumkan buat kali kedua di Lembah Klang bermula 14 hingga 27 Oktober.

Nadzry berdoa PKPB kali kedua ini hanya dikuatkuasakan selama dua minggu sahaja. “Kalau lebih dari dua minggu – menjangkau ke November dan sebagainya, kami mungkin terpaksa melepaskan staf kami.”

“Nampak gayanya kami kena tunggu sampai 2021 untuk betul-betul pulih dari segi kewangan. Tahun 2020 ini memang sah kami rugi,” tambahnya lagi.

PKPB kali kedua lebih teruk

Seorang lagi pengurus operasi padang bola sepak, Hermy Rahim berpendapat PKPB kali kedua lebih teruk impaknya berbanding ketika kali pertama.

“PKPB kali kedua ini lagi teruk kesannya kepada kami sebab belum sempat nak bernafas balik, tahu-tahu kami kena tutup padang. 

“Kami baru sahaja beroperasi sekitar setahun setengah. ROI (return of investment) pun belum dapat lagi. Semua bisnes kita pula – sewa padang, penganjuran liga dan akademi akar umbi – adalah berkenaan dalam sukan bola sepak. 

Hermy Rahim hilang punca pendapatan apabila padang KV Arena Shah Alam terpaksa ditutup kerana PKPB baru-baru ini (Foto: Hermy Rahim)

“Jadi bila padang ditutup, kami tiada pendapatanlah,” beritahu Hermy sambil tersenyum tawar. Nada suaranya jelas kedengaran sedih, tetapi pantas diselindungi oleh personalitinya yang ceria.

Jika Hermy mampu mencari sebab untuk senyum, lain pula ceritanya dengan jurulatih dan pengurus akademi akar umbi Little League, Shazwan Wong. 

“PKPB kali kedua ini memberi impak paling besar kepada mental kami sebagai jurulatih. Perasaan saya lebih kepada marah dan kecewa kerana kami jadi mangsa keadaan.

“Orang tak tahu semasa PKP kali pertama pada Mac lepas, pendapatan syarikat kami terjejas teruk. Mencecah enam angka! 

“Kemudian orang tak tahu betapa sukarnya buat latihan secara dalam talian. Kami kena susun jadual baru. Itu belum cerita kekecewaan kami lagi sebab kami tahu latihan dalam talian memang tak memberi impak besar kepada pemain.

Ketika PKP berlangsung, jumlah pelatih Shazwan menurun dari hampir 700 orang kepada hanya 40 orang. Tetapi selepas aktiviti sukan dibenar dibuka semula oleh kerajaan pada Ogos lepas, keadaan menjadi bertambah baik.

Shazwan Wong menyaksikan penurunan mendadak dari segi bilangan pelatih akademinya kerana PKP (Foto; Shazwan Wong)

“Dari 40 orang, jumlah pelatih kami meningkat ke 80 orang. Kemudian 120 orang. Kemudian 180 orang. Kemudian 230 orang. Paling tinggi kami capai adalah 370 orang. Tapi jumlah ini hanya mencakupi 40% kapasiti sebenar kami sebelum PKP sahaja.

“Semasa tempoh ini juga, kami telah berusaha keras untuk mengembalikan tahap kecergasan pemain pasukan elit ke tahap sebelum PKP.

“Tapi apabila PKPB diumum buat kali kedua, jujur cakap saya memang marah. Marah dan kecewa sebab kami jadi mangsa keadaan. 

‘Ikan kecil’ jadi mangsa PKPB

Berbeza dengan sukan lain di Malaysia, bola sepak berada dalam kedudukan unik kerana ia cukup popular sehingga mampu menjadi sebuah industri.

Diakui, saiz industri bola sepak tempatan masih lagi kecil – masih jauh dari sasaran Malaysian Football League (MFL) yang pernah menyasarkan mahu menjadikan bola sepak sebagai industri bernilai RM1 bilion.

Tetapi industri kecil inilah banyak memberikan punca rezeki tambahan buat kira-kira 3,000 pemain, 80 pengadil, 160 jurulatih, 150 jurugambar dan 200 staf sokongan padang bola sepak di peringkat amatur dan semi-profesional sekitar Lembah Klang.

Mereka inilah ‘ikan-ikan kecil’ dalam ‘lubuk’ industri bola sepak tempatan yang sememangnya kecil. Dalam erti kata lain – apabila PKPB dilaksanakan, merekalah golongan paling terjejas.

Masing-masing mempunyai pekerjaan lain pada waktu pagi. Selepas habis kerja pada waktu pagi, mereka akan mencari rezeki di padang bola sepak pula.

Sebahagian besarnya mencari duit tambahan. Tetapi ada juga sebahagian kecil yang mendapat sebahagian besar pendapatan bulanan mereka di dalam lubuk ini. Salah satunya jurugambar sambilan Hafizi Hamdan.

“PKPB kali kedua ini memang membuatkan saya terus buntu. Sudahlah PKP sebelum ini membuatkan saya hilang pekerjaan kerana syarikat ditutup terus. 

“Pada bulan Jun lepas, saya dapat kerja baru sebagai Pekerja Sambilan Harian (PSH) di sebuah kementerian. Walaupun tempoh kontrak tiga bulan sahaja, saya dapatlah ‘bernafas’ semula. Lebih-lebih lagi apabila kerajaan membenarkan padang bola sepak dibuka semula.

Bagi Hafizi yang mendapat hampir 60% pendapatan bulanannya dari kerja fotografi sambilan, pengumuman PKPB kali kedua ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

“Pengumuman PKPB pada 12 Oktober lepas bermakna saya hilang majoriti pendapatan bulanan saya. Kemudian sehari selepas itu, saya dimaklumkan kontrak saya sebagai PSH pula tak disambung. Dalam masa 24 jam, saya hilang 100% sumber pendapatan.”

Keadaan pengadil Liga FAS, Azizul Mohamad mungkin tidak semalang Hafizi. Tetapi ia tetap menjejaskan kesihatan fizikal dan mentalnya.

“Macam saya, kerja sambilan sebagai pengadil membantu saya menampung kos bulanan untuk menyara keluarga. Tak ada kerja sebagai pengadil, bermakna tak cukuplah kewangan saya.

“Semasa PKP lepas, saya terpaksa menjadi runner sambilan untuk menggantikan kerja pengadil. Ini membuatkan tahap kecergasan saya menurun. Sebagai pengadil, saya kena sentiasa jaga tahap kecergasan saya juga.”

Seorang pemain Liga FAS yang tidak mahu dinamakan pula berkata:

“Sudahlah PKP lepas membuat jumlah perlawanan menjadi sedikit. Lagi sedikit jumlah perlawanan, lagi sedikit elaun yang kami sebagai pemain terima. 

“Elaun ini mungkin nampak tak banyak di mata menteri. Ratus-ratus sahaja sebulan. Tapi duit ratus-ratus inilah yang bayar duit motosikal kami. Duit minyak motosikal. Duit bil telefon.  

Ramai tertekan

Berbanding industri ekonomi lain yang masih dibenarkan beroperasi ketika PKPB, industri bola sepak, atau sukan secara umumnya, ibarat diluah mati mak, ditelan mati bapa.

Jika dibuka, ia berisiko menjadi kluster baharu jangkitan wabak COVID-19. Ini kerana lumrah perniagaannya yang menuntut pemain melakukan kontak rapat ketika bermain bola sepak.

Jika ditutup, ia akan menimbulkan ‘ripple effect’ yang menjejaskan – bukan sahaja – pemain bola sepak, malah turut menjejaskan keharmonian seluruh ekosistem industri.

Apabila pemain bola sepak tak dibenarkan bermain, pengurus padang, jurugambar dan pengadil tiada duit. Itu di dalam padang.

Di luar padang, peniaga barangan sukan bola sepak dan futsal pula tiada pendapatan apabila pemain tidak dibenarkan bermain. Apabila peniaga tiada duit, pembekal pun tiada duit. Apabila pembekal tiada duit, pengilang pula tiada duit.

Tetapi dalam kebanyakan kes di Malaysia – nak tak nak – peniaga tetap perlu membayar pembekal dan pengilang barangan mereka walaupun tiada pelanggan datang membeli. Inilah yang diluahkan oleh Ikhlas Mat Ariffin, pemilik kedai barangan sukan futsal EFS.

Ikhlas Mat Ariffin (berdiri, tiga dari kiri) risau memikirkan nasib cawangan kedainya di Shah Alam susulan perlaksanaan PKPB (Foto: Instagram @wandolz)

“Semasa PKP kali pertama, jualan kami menjunam 80%. 20% itu pun datangnya dari jualan diskaun hasil promosi kami. Walaupun ada jualan, tak banyak yang kami dapat memandangkan margin keuntungan kami sangat tipis.

“Sewa kedai masih lagi kena bayar walaupun ada diskaun daripada tuan punya premis. Pembekal barangan pun masih kena bayar walaupun tiada jualan. Staf masih kena bayar gaji.”

PKP dan PKPB bukan sahaja memberi kesan kepada industri bola sepak dari segi ekonomi. Malah turut kepada kesihatan mental semua pemain industri seperti yang diberitahu oleh Khalilul Rahman, pengasas Persatuan Sukan Rekreasi Malaysia.

“Sejurus selepas PKPB diumumkan, saya telah menerima beberapa mesej daripada orang awam yang mengaku mengalami masalah tekanan mental.

“Kesihatan mental mereka sebelum ini bertambah baik melalui aktiviti sukan rekreasi yang kami anjurkan. Saya khuatir jika PKPB dilanjutkan lagi, keadaan mereka akan menjadi bertambah buruk.”

Industri pertama ditutup, industri terakhir dibuka

Semalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengeluarkan kenyataan sedang berbincang untuk membantu pemain industri sukan yang terjejas akibat PKPB.

Ketika artikel ini sedang ditulis, KBS masih belum menjanjikan apa-apa kepada pemain industri sukan. Tetapi bagi Nadzry, ada satu cara Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican boleh membantu mereka:

“Keputusan kerajaan [melaksanakan PKPB] itu kami faham. Kami juga merasakan keselamatan perlu menjadi keutamaan negara sekarang. 

“Tapi perlu diingat. Kami sebagai pengurus operasi padang sangat-sangat menjaga pematuhan SOP daripada kerajaan. Tak ada kluster pun yang timbul di padang bola sepak. Tapi operasi kami yang kena tutup dulu, dan dibuka paling kemudian.

“Kami mengharapkan sangat-sangat ada bantuan dari kerajaan kepada kami. Apa-apa bantuan untuk meringankan beban kami.

Bagi Nadzry dan pemain-pemain industri sukan lain ketika ini, khasnya bola sepak dan futsal, setakat mendengar sahaja masalah mereka tidak mencukupi dari KBS.

Sekarang mereka memerlukan barisan menteri yang lantang dan berani berjuang mewakili rintihan suara mereka di cabangan eksekutif.

Sir Alex Ferguson pernah berkata, “I’ve never played for a draw in my life.” Dan sekarang bukan masanya untuk KBS ‘main secara selamat’.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Apa Nasib Pasukan Liga Malaysia Jika PKP Berpanjangan?

PKPB: Dari Padang Bola, Syed Sobri Kembali Ke Laut

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN