Sejak kebelakangan ini, kejohanan Piala Sultan Selangor secara tiba-tiba menjadi sebutan ramai peminat bola sepak tempatan dan ada turut mempersoalkan kewujudan saingan tersebut sejak ia ditubuhkan suatu ketika.
Untuk rekod, ia mula ditubuhkan pada tahun 2001 dengan membabitkan antara Pilihan Selangor bersama Pilihan Singapura serta menjadi sebahagian kejohanan wajib buat kedua pasukan tersebut.
Pada awal penubuhan kejohanan itu, ia telah dimenangi oleh Pilihan Selangor menerusi kemenangan 4-2 pada penentuan penalti di Stadium Shah Alam selepas masing-masing terikat seri tanpa jaringan.
Menerusi perkongsian dibuat oleh bekas pengurus The Red Giants suatu ketika iaitu Zack Rahim, beliau menjelaskan mengenai sejarah dan pengetahuan lebih mendalam tentang kejohanan itu buat semua di Facebook.
“Piala Sultan Selangor itu bukan anjuran FAM atau FAS. Ia anjuran peribadi DYMM Sultan Selangor. Ia hakmilik peribadi Tuanku. Malah sewaktu saya Pengurus Pasukan Selangor 2009 pun tak dibenarkan duduk di bench kerana Pengurus Pasukan adalah pilihan Tuanku. Saya redho dan tak ada masalah. Satu special occasion tu je pun. Tak ada sampai nak merentan.
“Piala ini dianjurkan sejak Singapura tidak lagi berada dalam liga bolasepak Malaysia. Sejak itu baginda rasa rindu dengan nostalgia fenomenal kejohanan Piala Malaysia terutama pertemuan Selangor vs Singapura.
“Baginda memang orang bolasepak. Dia peminat bolasepak no 1 Selangor dan pernah menerajui FAS dan menguruskan pasukan Selangor di zaman Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Arumugam, Santokh Singh dan ramai lagi. Singapura pula dengan pemain seperti Samad Alipitchay, Quah Kim Song, Dollah Kassim, Edmund Wee, Hasli Ibrahim, Yahya Madon dll. Ketika itu baginda adalah Raja Muda Selangor. Bukan sahaja baginda, malah adindanya, Tengku Ahmad Shah juga terlibat dengan FAS dan pasukan Selangor.
“Di zaman mudanya, tiap kali Selangor vs Singapura, baginda akan turut hadir di Stadium Merdeka. Di Final Piala Malaysia 1986, arwah Mokhtar Dahari telah menghadiahkan jersi no 10 yang terakhir dipakainya sebelum bersara semasa mengambil trofi Pemain Final Piala Malaysia Terbaik. Itu membuktikan sejauh mananya minat Tuanku kepada bolasepak dan pasukan Selangor. Baginda boleh dikatakan anak raja pertama yang terlibat dalam bolasepak tempatan.
“Bagi mengikat memori Piala Malaysia Selangor & Singapore yang baginda rindui, maka Tuanku Sultan menaja Piala Raja Muda Selangor pada awalnya dan kemudian ditukar kepada Piala Sultan Selangor selepas Tuanku menaiki takhta Kesultanan Selangor.
“Tahukah bahawa Tuanku pernah nak batalkan penganjuran hanya sebab beberapa pemain veteran seperti Chin Aun, Santokh, Samad Alipitchay dan Dollah Kassim tak dapat bagi komitmen untuk main. Akhirnya diteruskan setelah dimaklumkan ramai lagenda Sgor & Spore akan main walau hanya 2-3 minit atas faktor kesihatan. Mereka pun dah berumur.
“Piala ini bukan mengenai pialanya, tapi Tuanku nak kembalikan nostalgia. Bukan hanya untuk dirinya semata-mata tapi juga untuk fans Selangor zaman 70 & 80an. Zamannya.
“Sebenarnya perlawanan team senior Selangor & Singapore tu bukan penting pun. Tapi yang veteran tu adalah segala-galanya. Baginda nak raikan pemain veteran.
“Ia bukan piala kejohanan mahupun piala rasmi. Simplenya, ia piala for fun dan prerogatif baginda. It’s His Majesty’s toy. Terpulang kepada dia dan hanya untuk Selangor & Singapura sahaja,” ujar beliau di Facebook.
Untuk rekod, Selangor telah pun menjuarainya sebanyak 11 kali bagi kejohanan itu dan kali terakhir Singapura muncul selaku pemenang pada tahun 2017.