Apa sudah jadi dengan Renato Sanches? Pemain yang dijulang sebagai prospek muda paling panas ketika Euro 2016 dan Bayern Munich sanggup membayar €35 juta untuk pemain ini.
Ramai yang terkejut ketika Swansea berjaya mendapatkan pemain itu secara pinjaman. Dikatakan Sanches terlalu bagus untuk kelab seperti Swansea.
Penyokong Swansea sendiri meraikan beliau sebagai bintang pasukan. Namun sebaliknya, Renato Sanches gagal untuk menjadi pemain utama dalam pasukan.
Setakat ini beliau hanya bermain 10 perlawanan untuk Swansea, 9 daripadanya dalam EPL. Beliau kerap dikritik kerana aksi teruk dalam perlawanan.
Renato Sanches kelihatan tidak bersemangat dan hilang keyakinan diri di dalam padang. Sebelum ini, Bayern Munich dan Swansea menganggap perjanjian ini menguntungkan semua pihak.
Bayern mahu Sanches bermain lebih banyak perlawanan. Swansea pula merasakan pemain ini akan memberikan perbezaan yang besar dalam pasukan.
Sebaliknya pula yang berlaku. Bayern Munich dikatakan tidak selesa dengan minit perlawanan dan data prestasi Sanches di Swansea.
Mereka telah membincangkan hal itu dengan Swansea dan mengharapkan staf kejurulatihan di Swansea lebih pro-aktif membantu pemain tersebut. Ada banyak pembangunan Sanches yang terbantut.
Swansea dilaporkan telah menjelaskan kepada Bayern Munich mereka sudah melakukan yang terbaik untuk membantu pemain tersebut tetapi Sanches ada krisis prestasi.
Swansea kini dilaporkan mahu menghantar Renato Sanches kembali ke Munich lebih awal. Dengan pertukaran pengurus di Bayern, mungkin juga Renato Sanches akan dapat menjadi pemain yang lebih banyak beraksi di sana.
Namun buat masa ini segalanya masih dalam perbincangan. Skuad Bayern Munich yang sedia ada dilihat sudah stabil. Pengurus Portugal antara yang risau sebelum ini, jika Sanches tidak keluar dari Bayern, ia memberikan impak kepada pasukan Portugal di Piala Dunia.
Secara realistiknya, tiada masalah untuk Sanches bermain untuk Portugal walaupun tidak bermain banyak perlawanan. Tetapi isu lebih muktahir adalah minit perlawanan yang akan membantu seseorang pemain lebih tajam dalam padang.