Sebelum saingan akhir Piala FA 2024/2025 berlangsung pada Sabtu ini dengan membabitkan pertemuan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor, sudah timbul beberapa kontroversi yang menjadi perbincangan dalam kalangan peminat.
Terbaharu, isu bola yang akan digunakan pada saingan tersebut menjadi sedikit kontroversi selepas logo membabitkan kedua pasukan telah ditampal sehingga mengundang beberapa kritikan penyokong.
Ianya berlaku selepas bola tersebut diperkenalkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ada peminat mengesan sesuatu yang tidak kena tertera pada logo salah satu finalis iaitu Selangor.
Kritikan diberi oleh para peminat di media sosial selepas kalimah Allah pada logo Selangor jelas tertera pada bola tersebut sehingga ada menyifatkan ia sebagai sesuatu sangat tidak sensitif.
“Malaysian Football League adakah bola tu digunakan untuk perlawanan akhir?..kalau betul harap dibuang logo JDT dan Selangor tu..sebab logo selangor ada kalimah Allah,” persoal Shaharudin Shahrom sebelum itu di media sosial MFL.
“Bola tu tak perlu laa ada logo-logo pasukan..ada ke patut logo team setiap pasukan yang masuk final disepak-sepak. Eropah pun tak buat camtu,” kata Khairil Anmzz pula.
Seperti diketahui ramai, penggunaan kalimah Allah adalah sesuatu yang sangat sensitif dan jelas ia tidak sesuai dipaparkan pada bola yang akan disepak oleh para pemain sepanjang aksi berlangsung.
Walaupun begitu, Active Sports tampil dengan lebih cakna apabila mereka telah pun memohon maaf atas kekhilafan berlaku dan kembali mengubah sedikit rekaan pada bola tersebut secepat mungkin.
“Kami dari pihak Activesports cakna atas sensitiviti dan memohon akibat akibat kekhilafan. Suara anda penyokong ke-12 sangat penting buat kami yang juga perlukan sokongan anda,” jelas laman tersebut di Instagram.
Perubahan terbaharu menyaksikan tiada lagi logo membabitkan kedua pasukan tersebut di bola dengan Activesports bertindak untuk mengubah kepada nama singkatan setiap kelab.
Perubahan itu jelas mendapat pujian positif daripada para penyokong kembali selepas kepekaan Activesports untuk kembali memperbaiki rekaan bola tersebut bagi aksi final.
Malah bola tersebut juga dikatakan sudah pun mula dijual oleh Activesports khas kepada para peminat yang ingin menjadikan ianya sebagai koleksi peribadi kerana secara asasnya rekaan dipamerkan sangat menarik.
Apapun, kehangatan final Piala FA kini semakin dirasai kerana kedua pasukan berada pada tahap terbaik untuk memberi suatu aksi cukup sengit di atas padang sepanjang tempoh 90 minit berlangsung.