Quantcast

BERITA

Kerajaan Thailand Bebaskan Hakeem Al-Araibi Kembali Kepada Australia

Pemain bola sepak, Hakeem al-Araibi yang juga merupakan seorang pelarian politik dari Bahrain akan dihantar pulang ke Australia. Beliau dijadualkan akan dihantar pulang ke Australia pada malam ini selepas kerajaan Thailand menarik kes ekstradisi terhadap beliau.

Menurut The Guardian, kerajaan Thai mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Al-Araibi, yang meninggalkan Bahrain pada 2014 sebelum diberikan suaka politik di Australia. Pemain itu terus menetap di negara tersebut sejak daripada itu.

Hakeem al-Araibi ketika ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di Lapangan Terbang Suvarnabhumi. (Foto: The Australian)

Tarik perhatian antarabangsa

Pemain bola sepak berusia 25 tahun itu telah ditahan selama 70 hari selepas tiba di Bangkok untuk bercuti bulan madu bersama isteri beliau pada 27 November lalu. Al-Araibi ditahan oleh pihak imegresen Thailand sebaik sahaja tiba di negara tersebut, atas permintaan kerajaan Bahrain dan ‘notis merah’ yang dikeluarkan oleh Interpol.

Interpol kemudiannya menarik balik status merah tersebut, yang tersilap dikeluarkan kerana bertentangan dengan polisi Interpol sendiri yang melindungi pelarian dan pencari suaka.

SYDNEY, AUSTRALIA – JANUARY 19: Sydney FC fans display a sign in support for Hakeem al-Araibi during the round 14 A-League match between Sydney FC and the Newcastle Jets at WIN Jubilee Stadium on January 19, 2019 in Sydney, Australia. (Photo by Mark Nolan/Getty Images)

Penahanan Al-Araibi menarik perhatian antarabangsa kerana dikatakan melanggar hak asasi manusia.

Al-Araibi dikatakan pernah dipenjarakan ketika masih di Bahrain dalam usaha pihak berkuasa negara tersebut membanteras atlet pro-demokrasi. Beliau kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana dakwaan venndalism, walaupun memiliki alibi yang kukuh kerana sedang beraksi dalam satu perlawanan bola sepak yang turut disiarkan secara langsung.

Hakeem al-Araibi ketika beraksi di Liga Bahrain pada 2012. (Foto: Bahrain Mirror)

Sehingga keputusan oleh kerajaan Thailand menggugurkan dakwaan terhadap Al-Araibi, Bahrain masih lagi berpendirian teguh di belakang pendakwaan mereka sebelum ini terhadap pemain tersebut.

Kerajaan Bahrain turut menafikan segala dakwaan pihak mereka telah melanggar hak asasi kemanusiaan- walaupun dikecam hebat secara global yang menganggap kes tersebut sebagai satu skandal.

Keputusan mengejut Bahrain

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Imigresen Thailand, Suratchate Hakparn berkata Kementerian Luar Negeri negara berkenaan telah menerima “informasi baru” dan juga petisyen untuk pihak mahkamah mengugurkan kes tersebut.

Bercakap kepada The Guardian, Ketua Pengarah Kementerian Luar Negeri Thailand, Chatchom Akapin berkata sebab utama pengguguran kes tersebut ialah kerana “kerajaan Bahrain memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Al-Araibi.”

Namun demikian Chatchom berkata beliau tidak pasti mengapa Bahrain mengugurkan kes ekstradisi tersebut. “Encik Hakeem kini sudah bebas,” ujar beliau kepada wartawan.

Thailand adalah salah sebuah negara yang mempunyai hubungan ekonomi yang sangat baik dengan Bahrain. Keputusan pengguguran kes tersebut pula tiba sehari selepas Menteri Luar Thailand mengadakan lawatan menghadap Tengku Mahkota Bahrain, Salman bin Hamad Al Khalifa di Manama – pertemuan yang digunakan untuk berbincang mengenai hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.

Kerajaan Bahrain tetap anggap Al-Araibi bersalah

Walaupun kes tersebut telah digugurkan, Menteri Luar Bahrain menyambut perkembangan terbaru tersebut dengan “kenyataan kurang senang” dan menganggap Al-Araibi tetap bersalah.

“Kerajaan Bahrain tetap dengan pendirian dan mempunyai hak untuk meneruskan tindakan undang-undang yang diperlukan terhadap En. Al-Araibi,” ujar beliau.

Kerajaan Australia pula berulang kali mahu Al-Araibi dihantar pulang ke negara berkenaan. Tatkala tekanan berterusan diberikan kepada Thailand untuk berbuat demikian, Menteri Luarnya telah mengeluarkan satu kenyataan pada minggu lepas untuk menyatakan bahawa Thailand tidak akan mengambil tanggungjawab dalam kes tersebut dan mahukan kedua-dua negara menyelesaikan kemelut itu sesama sendiri.

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!