Kerajaan Selangor memerlukan kos mencecah RM250 juta untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih Stadium Shah Alam.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam satu laporan Astro Awani baru-baru ini.
Memandangkan ia memerlukan kos yang tinggi, kerajaan negeri dilaporkan tidak boleh melaksanakan kerja baik pulih secara sekali gus, sebaliknya perlu melakukannya secara berperingkat dengan memperbaiki perkara asas di stadium tersebut terlebih dahulu.
“Kalau mahu buat secara luaran sahaja, ia kurang bermakna kerana fungsi dalaman seperti sistem air dan elektrik mesti diperbetulkan dahulu.
“Jadi, kita betulkan perkara asas, kemudian baru luaran,” ujar beliau kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini.
Kenyataan Amirudin itu tiba ketika mengulas gesaan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail dalam sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2020 pada persidangan DUN baru-baru ini.
Sebelum itu, Rizam meminta supaya kerajaan negeri membaik pulih stadium berkenaan.
Amirudin turut berkata secara keseluruhan Stadium Shah Alam masih lagi dalam keadaan baik seperti kemudahan padang dan struktur bangunan yang masih utuh.
Stadium tersebut adalah gelanggang rasmi kepada Selangor dan juga PKNS FC di saingan Liga Super pada musim lalu.
Stadium berkenaan turut sering digunakan untuk penganjuran sukan antarabangsa seperti Sukan SEA 2017, dan merupakan stadium pilihan untuk perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan negara ketika Stadium Nasional Bukit Jalil dinaik taraf sebelum ini.