Kerajaan Malaysia tampaknya terus komited untuk membantu pembangunan skuad Harimau Malaya pada masa akan datang dengan peruntukan baharu bernilai jutaan ringgit bakal disalurkan kepada sukan berkenaan.
Terbaharu, Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bakal disalurkan buat pembangunan bola sepak negara.
Ianya bertujuan untuk memastikan pasukan kebangsaan terus kukuh serta muncul selaku antara kuasa besar di Asia.
“Umum mengetahui bahawa sukan bola sepak amat dekat di hati rakyat Malaysia termasuk diri saya sendiri yang sentiasa menerima perkembangan langsung terkait situasi melibatkan pasukan Harimau Malaya.
“Pelbagai usaha berterusan dilakukan Kerajaan MADANI bersama beberapa pihak lain dalam memastikan skuad Harimau Malaya diperkukuh sekali gus muncul sebagai gergasi bola sepak asia.
“Bagi merealisasikan usaha ini, Kerajaan MADANI akan meningkatkan peruntukan RM15 juta yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2025 khusus untuk pembangunan sukan bola sepak kepada RM30 juta, yang mana RM15 juta lagi akan dibiayai oleh pihak swasta.
“Peruntukan ini akan diguna bagi meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.
“Dana ini juga akan dimanfaatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total dari setiap sudut bagi memastikan para pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik.
“Usaha juga akan ditumpukan kepada mewujudkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya, dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad bawah-23 negara dan ini secara tidak langsung membolehkan pasukan utama sentiasa dilengkapi dengan para pemain yang berpengalaman,” ujar beliau menerusi kenyataan rasmi semalam.
KENYATAAN MEDIA YAB PERDANA MENTERI
Umum mengetahui bahawa sukan bola sepak amat dekat di hati rakyat Malaysia termasuk diri saya sendiri yang sentiasa menerima perkembangan langsung terkait situasi melibatkan pasukan Harimau Malaya.
Pelbagai usaha berterusan dilakukan Kerajaan… pic.twitter.com/Ym8kBGr8Bu
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) January 12, 2025
Pada masa sama, Anwar turut berharap supaya Dulu Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terus memberi sokongan terbaik buat bola sepak negara.
“Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya
dan pasukan pengurusannya.
“Saya berharap agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan Harimau Malaya termasuk pasukan pengurusan dalam mengangkat nama Malaysia ke peringat tertinggi dan setanding nama besar bola sepak antarabangsa,” kata beliau lagi.
Kami turut berharap supaya pelbagai inisiatif terbaik terus diperkenalkan beliau serta Pemangku Sultan Johor selepas ini demi memastikan bola sepak Malaysia terus berkembang maju di pentas antarabangsa.