Laporan akhbar di Itali menyatakan yang ejen super, Mino Raiola sebagai individu terbaru dikaitkan dengan penipuan cukai dalam bola sepak.
Sejak beberapa tahu kebelakangan ini, banyak sekali kes yang melibatkan penipuan cukai dibongkar oleh pihak audit tempatan.
Akhbar Il Fatto Quotidiano melaporkan yang Raiola diburu oleh kerajaan Belanda yang mahukan Mino Raiola tampil memberikan penjelasan berkenaan dengan beberapa perkara.
Jika bersalah, mereka mahukan Raiola dikenakan tindakan undang-undang dan mengembalikan semula wang milik kerajaan Belanda.
Akhbar tersebut juga menyebut, Raiola menggunakan agensi cukai seperti Maguire Tax. Dan mereka telah menipu dalam laporan kewangan mereka untuk mengelak daripada membayar cukai yang sepatutnya mereka bayar.
Kerajaan Belanda mengesyaki ada sesuatu yang tak kena dalam transaksi perpindahan pemain sekitar 2014-2017. Ia turut melibatkan perpindahan beberapa nama besar daripada agensi Raiola.
Raiola sudah pun menafikan tuduhan itu dan menyatakan yang beliau tidak menyembunyikan apa-apa. Beliau hanya menawarkan perkhidmatan agensi kepada pemain. Dan pemain sendiri yang memilih agensi seperti Maguire.
“Itu bukan urusan saya. Jika pemain saya percaya dan menggunakan khidmat mereka, saya tidak ada kena-mengena dengannya.”
Raiola memiliki klien dengan nama-nama besar termasuk Romelu Lukaku, Paul Pogba, Zlatan Ibrahimovic, dan Gianluigi Donnarumma.