Keputusan & Laporan Matchweek 1: Playoff Selangor Champions League 2017

Kumpulan A: Rasta Tigers 0-3 Qharma FC

Disebalik kelebihan persiapan yang dimiliki oleh Rasta Tigers yang sudah mengharungi aksi Garden Social League 2017 berbanding Qharma FC yang baru menghadapi persiapan pra-musim, kelebihan kualiti pemain Qharma FC nyata menjadi pemisah apabila mudah menewaskan Rasta Tigers 3-0.

Dalam aksi playoff Selangor Champions League 2017 (SCL2017) yang berlangsung di Padang Taman Johan Setia, Klang semalam, Sainol Hodairi menjaringkan 2 gol untuk Qharma. Manakala 1 gol lagi disumbang oleh Alif Aiman.

Separuh masa pertama sememangnya didominasi Qharma. Seawal minit ke-2, Sainol sudah berjaya merobek benteng pertahanan Rasta melalui larian overlapping cemerlang dari bek kanan Qharma.

5 minit kemudian, Sainol sekali lagi mengancam apabila memanfaatkan kesilapan pertahanan tengah Rasta untuk menguji penjaga gol. Bagaimanapun percubaannya tersasar.

Kelemahan ketara Rasta di benteng pertahanan turut tidak dibantu dengan ketiadaan pressing di bahagian tengah. Ini memudahkan Qharma mencipta peluang demi peluang sepanjang separuh masa pertama.

Masuk separuh masa kedua, Rasta cuba bangkit. Di kala Qharma sudah mula mengendurkan serangan, Rasta beberapa kali menguji benteng pertahanan Qharma. Tetapi seperti yang kami beritahu sebelum ini, jurang kualiti pemain Rasta dengan Qharma yang jauh memudahkan kerja pertahanan Qharma.

Pertahanan Qharma turut menampilkan permainan agresif – sekaligus menyukarkan jentera serangan Rasta. Ia terbukti apabila pengadil melayangkan 6 kad kuning dalam perlawanan ini.

Ketika Rasta sedang sibuk menyerang, Qharma mengajar mereka cara untuk menjaringkan gol 13 minit selepas separuh masa kedua bermula.

Berpunca daripada kegagalan pertahanan Rasta untuk bertahan dalam situasi sepakan sudut, Alif Aiman menyumbat gol ke-2 untuk memberi kelebihan 2-0 kepada Qharma.

2 minit selepas peluang itu, Sainol menghukum barisan pertahanan Rasta lagi apabila menyambut hantaran terus dari tengah. Dengan kedudukan 3-0 memihak Qharma, Rasta pastinya tertanya-tanya berapa jauhnya jurag kualiti mereka berbanding Qharma – dan Condoh FC yang bakal menanti mereka dalam aksi kumpulan A seterusnya.

Pemain terbaik perlawanan: Sainol Hodairi (Qharma FC)

Laporan disediakan oleh: Muzammil, Chief Editor Semuanya BOLA

Kumpulan B: SKJ SC 2-5 SA United

Perlawanan kedua yang disangka mungkin lebih sengit dan seimbang di antara SKJ SC, wakil Gaucho RF League dan SA United, yang mengakhiri musim mereka di KV Super League di tangga keempat rata-rata memang didominasi oleh SA United setelah menewaskan SKJ SC 2-5.

Pasukan yang berasal dari Shah Alam ini sememangnya pasukan tumpuan setelah melihat pasukan mereka beraksi di Padang Bola Sepak Johan Setia semalam.

Perlawanan yang penuh dengan peluang dari kedua-dua pasukan, SKJ mendapat peluang keemasan dari tendangan percuma namun tidak berjaya mengambil peluang tersebut apabila tendangan dihalang oleh palang gol.

Perlawanan diikuti oleh beberapa peluang dari SA United pada minit ke-16 dan 18 tetapi terlalu mudah bagi penjaga gol SKL SC. SKJ akhirnya mendapat jaringan yang pertama melalui Peter Ugbe, pemain import SKJ SC. Pemain bernombor 7 dari SKJ SC membuat cut-back yang cukup baik lalu menghantar bola ke arah Peter Ugbe yang hanya perlu menyentuh bola ke gawang gol.

Permainan dikawal oleh SKJ pada babak pertama. Walau bagaimanapun, SA United bangkit pada babak kedua dengan jaringan pada minit ke-45 yang dijaringkan oleh Azizu Azwan. Pemain bernombor 15 ini menjaringkan gol keduanya dalam tempoh masa 2 minit sahaja untuk meletakkan SA United dalam keadaan yang selesa.

Kemudian, Mohamed Ahmed menghilangkan segala keresahan buat SA United apabila berjaya menjaringkan gol ketiga mereka apabila di-assist oleh playmaker, Khairi Yousef. Ketiga-tiga jaringan SA United telah di-assist oleh pemain paling menyerlah SA United, Khairi Yousef yang begitu selesa mengawal permainan.

SKJ menerima serangan demi serangan dari SA United, akhirnya pada minit ke-57’ SA menerima sepakan penalti apabila pemain pertahanan SKJ menerjah dengan cuai ke arah pemain SA United. Khairi Yousef melengkapkan hari SA United dengan menjaringkan gol keempat SA United dari tempat penalti.

SA United bermain seperti bermain di petang hari, mengawal kawasan midfield padang dengan mudah. Mohamed Ahmed sekali lagi membuat larian cantik di antara 2 pemain pertahanan SKJ untuk menjaringkan gol cip untuk menyempurnakan permainan mereka.

Walau bagaimanapun, SKJ tetap menjaringkan gol saguhati pada minit ke-68 yang mungkin boleh mengurang defisit gol mereka. SKJ yang mungkin kecewa dengan permainan mereka kerana tidak berjaya meneruskan momentum babak pertama dan akhirnya tewas kepada pasukan terbaik pada petang semalam.

Pemain terbaik perlawanan: Khairi Yousef (SA United)

Kumpulan C: PIB FC 5-2 FC Serayan

Menduduki tangga ke-3 KV Super League dan memiliki pemain yang berpengalaman berentap di dalam liga FAS, PIB sememangnya kelihatan seperti pasukan pilihan di atas kerta dan mereka berjaya membuktikan kehebatan mereka pada perlawanan minggu pertama playoffs SCL2017 setelah menewaskan FC Serayan 5-2.

PIB mendapat peluang pertama pada minit ke-7 tetapi cubaan mereka ditepis keluar oleh pemain pertahanan FC Serayan di garisan gol.

Walau bagaimanapun, PIB tidak melepaskan peluang kedua mereka apabila Muhamad Farees menjaringkan gol pertama mereka dari jarak dekat apabila mendapat hantan yang cukup baik dari pemain sayap mereka.

PIB mendapat peluang kedua untuk menjaringkan gol sekali lagi namun pemain bernombor 20 tidak bernasib baik kerana cubaannya terkena palang. Serayan yang menjuari JES League berjaya membuat serangan balas pada minit ke-21 namun mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan apabila peluang 1 on 1 mereka dibazirkan begitu sahaja.

Corak permainan PIB pada babak pertama cukup kemas dengan hantaran jauh yang tepat untuk membuka permainan. Pada minit ke-22, Khairul Anuar meledakkan gol kedua mereka dengan rebatan kencang ke sebelah kanan gol.

Permainan kelihatan berpihak kepada PIB pada babak pertama, namun Amirul Fareez dari FC Serayan menjaringkan gol pertama mereka dengan menggelecek penjaga gol untuk mengurangkan beza jaringan kepada satu gol sahaja.

Namun, kelihatan pemain Serayan semakin penat pada minit ke-50 dan tidak dapat mengejar permainan yang rata-rata dikawan oleh PIB. Pada minit ke-52, Khairul Anuar meletakkan PIB di tempat yang lebih selesa, menjaringkan gol ketiga PIB dan menyempurnakan hatriknya pada minit ke-56 dengan skill yang cukup baik dan menggelecek penjaga gol.

Serayan berjaya mendapat gol kedua hasil jaringan pemain nombor enam mereka Vengadesh Victor pada minit ke-67. Namun, gol kedua itu tidak mencukupi untuk mengubah nasib mereka, PIB berjaya menyempurnakan perlawanan mereka dengan jaringan pada saat akhir oleh Amirul Sugito.

Ketiga-tiga pasukan yang berjaya mengutip 3 mata, Qharma FC, SA United dan PIB FC berada selesa di tangga teratas dalam kumpulan masing-masing dengan perbezaan gol sebanyak 3 gol. Bolehkah mereka melengkapkan pusingan playoff ini dengan satu lagi kemenangan pada minggu seterusnya?

Pemain terbaik perlawanan: Khairul Anuar

Laporan disediakan oleh: Izrin Nabil, Sportseeker

Kedudukan kumpulan A, B dan C peringkat playoff Selangor Champions League 2017 setakat ini:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN