Aksi Liga Super di antara UiTM dan Kuala Lumpur City pada Sabtu sedang menjadi topik hangat selepas pemain veteren Shukor Adan didakwa menjaringkan gol menggunakan tangannya.
Jaringan itu persis gol ‘Hand of God’ yang dilakukan oleh legenda bola sepak dunia Diego Maradona ketika membantu Argentina menewaskan England dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986.
Gol tersebut juga telah memberikan kekecewaan kepada UiTM yang terlebih dahulu di depan menerusi pemain import baharu dari Korea Selatan, Kwon Yong-hyun pada minit ke-83.
84' Gol | Pemain baharu UiTM FC, Kwon Yong-hyun memecah kebuntuan di Shah Alam!@uitmfclions 1-0 @KLCityFootball #LigaSuper2021 pic.twitter.com/mkIrGVK0IS
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 8, 2021
Namun Shukor Adan yang masuk sebagai pemain gantian mengikat kedudukan 1-1 pada masa kecederaan untuk memastikan KL City mencuri satu mata di Stadium UiTM, Shah Alam.
Tindakan pemain berusia 41 tahun itu menaikkan tangannya ketika membuat lompatan gagal dikesan oleh pengadil perlawanan Shahrizan Solihim dan pembantunya.
Pada awalnya selepas melihat ulang tayang, jaringan tersebut disangka merupakan gol sendiri kerana ia dilihat seperti terbias pada kepala kapten UiTM, Victor Nirennold.
Beberapa laporan berita perlawanan oleh media arus perdana juga saling bercanggah di mana ada yang menyatakan ia adalah jaringan oleh Shukor Adan dan ada yang menulis ianya merupakan jaringan sendiri pemain UiTM.
Namun keputusan akhir yang dibuat oleh Komisioner Perlawanan, Kol (B) Kamarudin Sakhari agak mengejutkan kerana memberikan gol tersebut kepada pemain berjersi nombor 12 itu.
90+4' Gol | Gol penyamaan KL City pada saat-saat terakhir!@uitmfclions 1-1 @KLCityFootball #LigaSuper2021 pic.twitter.com/f0ewvF7pZz
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 8, 2021
Ia sekaligus menimbulkan pertikaian kerana keputusan itu memberi maksud pegawai perlawanan ‘mengiktiraf’ gol Shukor Adan yang menggunakan tangan sedangkan mereka mempunyai pilihan untuk memutuskan sebaliknya iaitu gol sendiri oleh pemain pertahanan UiTM.
Bagi merungkai persoalan ini, diharapkan Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat memberi penjelasan mengenai isu berkenaan dalam masa terdekat.
Ini bukan kali pertama Shukor Adan terlibat dengan kontroversi menggunakan tangan dalam perlawanan.
Ketika mewakili Negeri Sembilan dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA pada 2010 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, beliau menidakkan peluang Selangor untuk menjaringkan gol dengan menyentuh bola dengan tangannya.
Ketika itu tindakannya juga gagal dikesan oleh pengadil perlawanan dan penjaga garisan sehingga menyebabkan pemain Selangor mengamuk dan bertindak di luar kawalan menyebabkan beberapa pemain telah diberi hukuman penggantungan perlawanan oleh Jawatankuasa Tertib FAM.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:
Liga Super: Aksi Di ‘Bendang’ Beri Kelebihan Kepada Kedah Atasi Sabah
Liga Super: Harimau Kumbang Dilanyak Harimau Selatan Di Kandang Sendiri
Manuel Hidalgo: Sanggup Tinggalkan Eropah Kerana Maradona, Kini ‘Hero Segera’ Sri Pahang