Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja dan gembira melihat kepulangan semula Alex Oxlade-Chamberlain yang kembali beraksi setelah sekian lama disisihkan susulan kecederaan serius dialaminya.
Chamberlain sebelum ini terpaksa berehat hampir setahun selepas mengalami kecederaan lutut ketika menentang AS Roma pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara, April tahun lalu.
Pemain berusia 25 tahun itu kembali diturunkan pada aksi menentang Huddersfield Town, awal pagi tadi yang menyaksikan Liverpool menang besar 5-0 di Anfield.
Beliau dimasukkan pada minit ke-74 menggantikan Daniel Sturridge dan hampir meledak gol seminit selepas itu.
“Sangat bagus. Melihat senyumannya setelah peluangnya gagal dan hampir sahaja membuatkannya patah hati,” ujar Klopp dipetik menerusi Liverpool FC.
“Dia seorang yang luar biasa. Dia adalah orang yang lebih baik daripada pemain lain, bayangkan! Dia adalah seorang pemain yang sangat baik dan sebagai seorang lelaki yang luar biasa. Kami sangat gembira baginya.”
Elak seperti De Bruyne
Dalam masa yang sama, Klopp juga cuba membandingkan kepulangan Oxlade-Chamberlain dengan bintang Manchester City, Kevin De Bruyne yang juga mengalami situasi yang sama akibat kecederaan.
Nasib De Bruyne lebih malang apabila berdepan dua kecederaan lutut pada permulaan musim dan dibelenggu kecederaan hamsting sehingga membataskan aksinya bersama City.
Klopp tidak mahu situasi yang dialami De Bruyne menimpa kepada anak buahnya.
“Musim ini anda lihat Kevin [De Bruyne]. Dia seorang pemain yang hebat.”
”Namun, ia kembali dari tempoh cedera yang panjang dan mereka memainkannya kembali kerana dia berlatih dengan sangat bagus, tetapi persaingan liga lebih hebat. Sama seperti Ox, kami harus mengawasinya dengan teliti”
“Anda melihat dia kembali berlatih dan semua sangat ghairah. Sekarang dia kembali dan kami mula menggunakan dia dari waktu ke waktu, ini perlawanan yang sempurna bagi dia,” kata Klopp.