Kepulangan Kpah Sherman, Impian Kedah Ke Asia & Sebelum Tirai Liga Super 2021 Dilabuhkan

Kpah Sherman Kedah Darul Aman Liga Super 2021

Penyerang sensasi Kedah Darul Aman FC, Kpah Sherman akhirnya telah tiba ke bumi Alor Setar, Kedah pada Jumaat, namun perlu menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu, sehingga 22 September depan.

Sepanjang ketiadaannya, Kedah telah tiga kali keciciran mata – dua keputusan seri dan satu kekalahan. Memburukkan situasi, mereka terpaksa bersaing dengan Penang FC dan Terengganu FC untuk slot ke saingan Piala AFC 2022 apabila berkongsi mata dengan Penang FC dan tiga mata di depan Terengganu.

Berdepan Melaka United, skuad Hijau Kuning hanya perlu melakar kemenangan, jika tidak mahu menyukarkan laluan mereka dengan menanti pula keputusan antara Penang FC dan Terengganu di Stadium Bandaraya.

5 Situasi Yang Merubah Pemenang Tiket Ke Piala AFC 2022 Antara Kedah, Penang & Terengganu

Menurut pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mengenai aksi terakhir Liga Super berdepan Melaka United, “Kita tiada pilihan pada perlawanan akhir liga ini melainkan kembali bangkit [memburu kemenangan].”

“Saya tidak mahu pemain tertekan atau takut-takut pada perlawanan bertemu Melaka United, hanya perlu fokus sepanjang 90 minit ini,” ujarnya lanjut sambil mengakui ia juga bukan satu tugasan yang mudah.

Slot ke Piala AFC musim depan akan diberikan kepada naib juara liga yang menjadi rebutan antara Kedah, Penang FC dan Terengganu serta satu lagi slot akan diberikan kepada juara saingan Piala Malaysia 2021.

Oleh itu, Aidil Sharin memandang serius pertembungan tersebut kerana sudah tentu mereka mahu melangkah lagi ke saingan peringkat Asia buat tahun ketiga berturut-turut selepas edisi 2020 dan 2021.

Malangnya untuk edisi 2021 tempohari, saingan Piala AFC zon Asean terpaksa dibatalkan akibat tiada tuan rumah untuk penganjurannya menyaksikan Kedah dan Terengganu kempunan untuk pergi bertanding.

Untuk edisi 2020, Kedah berpeluang bertanding di pusingan playoff dan kelayakan AFC Champions League (ACL), namun akhirnya telah disingkir wakil Korea Selatan, FC Seoul apabila tewas dengan keputusan 1-4.

Ia musim pengenalan mereka di saingan peringkat Asia di bawah bimbingan Aidil Sharin yang pernah menjuarai saingan Piala AFC zon Asean pada edisi 2018 ketika mengendalikan kelab Singapura, Home United.

Kedah terpaksa mengharungi sembilan perlawanan dalam tempoh sebulan dan kehilangan Kpah Sherman serta Rabih Ataya yang pulang untuk tugasan antarabangsa menambah perit buat mereka mengharunginya.

Jadual Kedah agak padat berbanding pasukan lain disebabkan lima perlawanan mereka bermula pada Julai lalu terpaksa ditangguhkan akibat kes positif COVID-19 yang melibatkan dua pemain di kem mereka.

Disebabkan mahukan persaingan menuju ke penamat liga lebih adil, Malaysian Football League (MFL) telah mengubah jadual Liga Super dan menyaksikan perlawanan tertangguh Kedah ‘diselit’ di tengah minggu.

Kedah Tiada Masalah Tanpa Penggempur Utama Kpah Sherman

Walaupun sudah kembali, Kpah Sherman tetap tidak dapat diturunkan berdepan Melaka United, namun sudah tentu auranya turut dibawa kembali untuk membantu skuad kendalian Aidil Sharin dalam aksi terakhir.

Apa yang Kedah boleh belajar daripada kesulitan yang mereka lalui ketika ini? Sudah tentunya berkaitan kebergantungan kepada kudrat Kpah Sherman sepanjang keberadaannya dan mengetepikan pemain lain.

Walaupun mungkin penyerang lain tidak setarafnya, Kedah seharusnya memberikan pemain-pemain itu lebih minit permainan agar mereka tidak gugup dan mudah menyesuaikan diri dengan permainan pasukan.

1513 minit permainan daripada 1530 sepatutnya menyaksikan Kedah memang bergantung sepenuhnya kepada Kpah Sherman, jika beliau boleh bermain. Kipre Tchetche pula merekodkan 1763 minit permainan daripada 1800 minit sepatutnya. Adakah Aidil Sharin langsung tidak membuat penggiliran pemain?

Ada, cuma ia agak terhad kepada pemain di jentera tengah dan penyerang yang kini sudah meninggalkan pasukan, Rozaimi Abdul Rahman. Begitupun, Rozaimi hanya merekodkan 215 minit permainan daripada sembilan penampilannya – hanya sekitar 27 peratus berbanding jumlah penampilannya yang nampak banyak.

Benarkah Kedah tiada penyerang muda berbakat? Jawapan tersebut hanya ada pada Aidil Sharin dan mungkin penyokong Kedah lebih mengetahuinya. Jadi, siapakah pula Afeeq Iqmal dan Fikhri Zulkiflee?

Tirai Liga Super 2021 bakal dilabuhkan pada malam ini dan pemenang tiket ke Piala AFC akan diketahui lewat malam nanti. Jika Kedah meledak seberapa banyak gol awal, mereka dalam perjalanan untuk memenangi aksi dan akan berada di ‘driving seat’ untuk melangkah ke Piala AFC 2022. Kedah hanya perlu menang!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN