Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Kepentingan Pembangunan Akar Umbi Untuk Meningkatkan Tahap Profesionalisme Bola Sepak

Nota editor: Artikel ini adalah hasil tulisan Ramon Marcote, yang merupakan pemegang lesen kejurulatihan UEFA Pro. Artikel ini telah diterjemah, disunting, dan disiarkan oleh Semuanya BOLA dengan kebenaran pemilik asal artikel.


Ramai dari kalangan anda menghubungi saya bertanyakan bagaimana struktur organisasi pembangunan bola sepak di Sepanyol.

Sebelum itu, saya mahu mengucapkan tahniah kepada skuad muda Malaysia yang memperolehi keputusan membanggakan, yang merupakan perkara yang amat baik untuk negara anda. Kejayaan menewaskan Australia membuktikan sesuatu.

Malaysia adalah sebuah negara dengan populasi 33 juta penduduk, bermakna sangat jelas terdapatnya bakat untuk bola sepak itu wujud. Tetapi pemain berpotensi dan bakat ini memerlukan latihan dan pelan pembangunan yang secukupnya untuk memastikan mereka bersiap sedia berhadapan dengan bola sepak profesional dengan jayanya.

B-15

Skuad B-15 Malaysia. Foto: FAM

Saya tidak tahu banyak mengenai Program Pembanungan Bola Sepak Negara (NFDP), tetapi ia kelihatan seperti sebuah projek yang memiliki cita-cita tinggi, mempunyai organisasi tersusun dan profesional, dimana ketika ini mula meraih keputusan yang dikehendaki dalam membentuk pemain muda bertujuan untuk dijadikan pemain pasukan utama skuad kebangsaan satu hari nanti.

Antara soalan yang sering ditanya mengenai bola sepak Malaysia adalah apakah perkara yang dilakukan telah mencukupi, atau adakah terdapat perkara lain yang turut harus diberikan penekanan.

Buku NFDP yang boleh dibaca di pautan: http://www.planetbola.my/ktkl_pelan_pembangunan.html

Sasaran utama sudah pasti untuk memastikan pasukan kebangsaan dan kelab dari Malaysia boleh beraksi di pentas lebih tinggi seperti Piala Dunia atau pelbagai kejohanan antarabangsa peringkat serantau di Asia, mulai menyalurkan pemain ke pasaran eropah dan pelbagai lagi. Tetapi sebelum itu, Malaysia harus terlebih dahulu menjadi penanda aras bola sepak di Asia.

Penghasilan produk yang kompetitif

Seperti yang dibuktikan di seluruh dunia, untuk menjadi lebih kompetitif, anda harus menghasilkan lebih ramai bakat muda secara kompetitif, dan anda harus melakukannya dengan cepat. Semakin ramai pemain yang mampu bersaing secara kompetitif dimiliki oleh sesebuah negara, maka pertandingan (liga domestik) juga akan meningkat dari segi persaingan – sekaligus akan membantu meningkatkan daya kompetensi pemain.

Tanpa pertandingan, maka kita tidak akan ke hadapan. Semakin baik bakat tempatan yang dimiliki, maka kualiti pemain import yang diambil juga seharusnya bertambah baik. Seperti yang anda lihat, tujuan semua ini harus tertumpu kepada usaha meningkatkan tahap kompetensi dan kualiti pertandingan.

Foto: Kedah FA

Pada pendapat saya juga, mana-mana kelab bola sepak tidak sewajarnya bergantung harap kepada tahap kemampuan pemain asing semata-mata. Pemain asing seharusnya menjadi elemen untuk meningkatkan kualiti pasukan secara keseluruhan, tetapi bukan untuk dijadikan sandaran.

Perkara yang seharusnya menjadi sandaran oleh sesebuah kelab bola sepak sepatutnya adalah falsafah yang telah dipilih, kemudian ia akan menentukan cara bola sepak itu dimainkan, yang memberi identiti kepada falsafah bola sepak itu.

Kredit: JST

Pemain tempatan harus memberikan sokongan kepada cara bola sepak dimainkan di kelab. Maka jika tanpa pemain import (kerana kecederaan), tiada masalah bagi pemain tempatan memainkan peranan dan membuktikan diri.

Ianya sangat jelas kelab yang memiliki falsafah bola sepak yang konsisten akan mampu menghasilkan keputusan positif yang konsisten.

Pemain naturalisasi

Oleh kerana itu saya juga berpendapat tahap pencapaian sesebuah pasukan kebangsaan juga tidak boleh disandarkan kepada pemain naturalisasi. Perkara ini sudah lama berlaku kepada negara seperti Filipina, dan ia tampak seperti akan berlaku di Malaysia.

Semua pihak harus menyedari bahawa mewakili pasukan kebangsaan di kejohanan-kejohanan antarabangsa di seluruh pelusuk dunia adalah satu penghormatan yang dipikul dengan tanggungjawab. Tidak semua pemain bola sepak berpeluang menyarung jersi negara. Hanya pemain yang berkemampuan yang telah membuktikan diri mereka di dalam atau luar negara.

Aksi Sumareh ketika menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO: FAM

Tidak salah untuk mengambil pemain naturalisasi jika tujuannya adalah untuk meningkatkan kompetensi pasukan. Ia adalah perkara positif. Bagaimanapun naturalisasi tidak boleh dijadikan asas dan sandaran pembinaan pasukan. Kita tidak harus lupa, beraksi mewakili negara juga bermakna pemain mewakili setiap rakyat, mewakili bendera, budaya dan juga sejarah sesebuah negara. Ia tanggungjawab yang amat berat.

Pool pemain tempatan

Pasukan kebangsaan seharusnya memiliki jumlah pemain profesional berkompetensi tinggi untuk dijadikan pilihan. Jika Liga Super Malaysia (MSL) dianalisis, kita akan dapati 300 pemain beraksi di sini dimana 70 daripada mereka adalah pemain asing, dan 230 lagi terdiri daripada pemain tempatan. Ini bermakna 10% daripada kelompok pemain ini akan mewakili pasukan kebangsaan. Ini membuktikan Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia tidak mempunyai banyak pilihan pemain.

Ayuh kita teruskan analisis. Pada setiap pusingan perlawanan MSL, tidak kurang 60 pemain asing dan 72 pemain tempatan akan dipilih berada dalam kesebelasan utama. Mereka ini bolehlah dianggap sebagai pemain terbaik di dalam negara kerana beraksi di divisyen teratas Liga Malaysia.

Kredit foto: Pahang FA

Ini juga memberitahu hanya seorang daripada tiga pemain akan mendapat panggilan menyertai pasukan kebangsaaan. Ratio 1:3 ini juga bukti ‘pool’ pemain tempatan di Malaysia sangat rendah untuk kelangsungan pasukan kebangsaan. Pertandingan kompetitif yang normal tidak akan menghasilkan ratio serendah ini.

Permasalahan ini belum lagi termasuk kecenderungan kelab mengambil pemain asing khusus untuk posisi-posisi penting seperti posisi pertahanan tengah, pemain tengah bertahan, playmaker, penyerang kedua dan juga penyerang utama. Trend ini menutup ruang pemain tempatan yang mempunyai potensi dan bakat untuk mengembangkan kualiti mereka di kancah saingan profesional di dalam negara.

FOTO: Pahang FA

Analisis ringkas mengenai situasi bola sepak di Malaysia membuktikan ianya tidak banyak ruang untuk bakat muda tempatan untuk berkembang. Salah satu sebab ialah kerana mereka perlu bersaing dengan pemain asing, atau kerana mereka tidak cukup bersedia untuk bersaing secara profesional di tahap tertinggi di Liga Malaysia. Kerana itu, hanya dengan menghasilkan seramai mungkin bakat muda yang mampu bersaing di peringkat tertinggi secara profesional, barulah pemain tempatan mampu menguasai liga mereka sendiri, dan mungkin juga di luar negara.

Model bola sepak Sepanyol

Ianya terpulang bagaimana perancangan FAM dan MFL dalam penghasilan lebih ramai pemain muda boleh bersaing di peringkat tertinggi. Saya percaya negara anda sudah memiliki pelan dan sedang melaksanakannya. Tetapi saya ingin berkongsi bagaimana ia dilaksanakan di Sepanyol.

Seperti Malaysia, Sepanyol juga bukan sebuah negara yang sangat besar, dan mempunyai populasi sekitar 46 juta penduduk. Namun Sepanyol mampu menghasilkan pemain tempatan berkelas dunia yang mampu bersaing di liga domestik dan di luar negara.

(Photo by Helios de la Rubia/Real Madrid via Getty Images)

Melalui satu kajian yang diterbitkan pada 30 Jun 2014, terdapat 11,666 buah kelab bola sepak telah didaftarkan dengan Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF). Pada 2018 pula lebih dari 1 juta pemain didaftarkan bersama RFEF untuk pelbagai peringkat umur.

Seperti di Malaysia, RFEF dan Profesional Football League (LPF) adalah badan pentadbir kepada pertandingan bola sepak di Sepanyol. Seperti yang anda maklum di Sepanyol terdapat dua liga profesional utama iaitu Divisyen 1 (20 pasukan) dan Divisyen 2 (22 pasukan). 42 kelab ini adalah pemegang taruh/rakan kongsi yang membentuk LFP.

(Photo by Denis Doyle/Getty Images)

Pertandingan seterusnya pula dikenali sebagai Divisyen Dua B yang dibahagikan kepada 4 kumpulan yang masing-masing mengandungi 20 pasukan (80 semuanya). Di pertandingan ini, semua pemain juga bertaraf profesional. Kemudian pertandingan ke-4 adalah Divisyen 3 yang dibahagi kepada 18 kumpulan, masing-masing dengan 20 pasukan (semuanya 360 pasukan). Di sini saingan dan kelab berstatus sem-profesional.

Piramid bola sepak Sepanyol.

Kemudian piramid bola sepak Sepanyol mempunyai divisyen ke-5, dan seterusnya sehingga ke-8 yang merupakan amatur sepenuhnya. Di Sepanyol terdapat kelab yang memiliki beberapa pasukan yang beraksi di pelbagai peringkat dan divisyen pertandingan. Dan pasukan-pasukan ini berusaha untuk mencapai tahap profesional setiap tahun.

Evolusi bola sepak Sepanyol

Akta Sukan 1990 telah mengubah bola sepak Sepanyol secara keseluruhan. Kelab bola sepak dijadikan sebagai entiti koporat. Ini bermakna tahap profesionalisme ditingkatkan dan bola sepak menjadi sebuah industri hiburan sukan yang semakin menarik di negara ini. Seterusnya ia membenarkan pelaburan dari dalam dan luar negara, sekali gus memacu tahap bola sepak di Sepanyol.

Pemain dan jurulatih terbaik dari seluruh dunia juga mensasarkan Sepanyol – dan membenarkan negara ini merangka pelan membina pemain dan jurulatih yang baik sendiri. Stesen televisyen di dalam dan luar negara juga berminat menyiarkan perlawanan yang bererti pendapatan kelab juga akan dipertingkatkan. Ketika itulah bola sepak sebagai sebuah industri mulai mengambil tempat di Sepanyol.

(Photo credit should read JAVIER SORIANO/AFP/Getty Images)

Seterusnya, aspek pembangunan bola sepak mulai diberikan penekanan. Setiap kelab profesional di Sepanyol mulai menghasilkan pemain sendiri masing-masing untuk menjadi bintang bola sepak dunia. Di negara ini, jika ia adalah sebuah kelab bola sepak profesional, maka kelab wajib memiliki Akademi Bola Sepak Berprestasi Tinggi. Ia merangkumi sekolah bola sepak yang mempunyai misi serampang dua mata – menghasilkan pemain profesional, dan sebagai sumber ekonimi (hasil penjualan pemain).

Di Sepanyol, hampir semua kelab memiliki struktur yang serupa untuk bola sepak lelaki dan wanita seperti jadual di bawah.

Di dalam sistem ini pelatih perlu melepasi objektif minimum yang ditentukan oleh kelab sebelum pergi ke peringkat seterusnya. Ramai yang gagal, dan akhirnya terpaksa mencari kelab baharu untuk meneruskan latihan dan impian masing-masing. Pemergian seorang pelatih, membenarkan kelab mengambil pelatih baharu. Atletico Madrid misalnya memiliki 1,500 pelatih di akademi berprestasi tinggi milik mereka. Antara pemain yang dihasilkan ialah Fernando Torres, Morata, Koke, dan David de Gea.

Ferguson

(Photo by Tom Purslow/Man Utd via Getty Images

Malah kelab amatur mempunyai struktur yang hampir serupa dengan apa yang dimiliki kelab profesional. Bezanya, mereka memiliki pasukan peringkat umur yang lebih terhad. Namun tujuannya tetap sama iaitu untuk memberikan latihan kepada pemain-pemain muda. Di Sepanyol, ramai pemain bermula dari kelab amatur sebelum mereka menarik perhatian pencari bakat dari kelab-kelab profesional. Ia bagaikan satu kitaran ekosistem di mana kelab profesional dan amatur sering memerlukan.

Perbezaan Sepanyol dan Malaysia

Di Sepanyol pemain sudah memiliki pasukan seawal usia kanak-kanak. Kelab-kelab di Sepanyol juga jelas bahawa pelaburan mereka dalam program pembangunan adalah untuk menjadikan pemain profesional untuk kegunaan kelab, atau pun menghasilkan pemain untuk dieksport keluar.

(Photo by Jasper Juinen/Getty Images)

Terdapat perbezaan ketara diantara bola sepak di Sepanyol dan Malaysia. Antaranya kelab-kelab di Malaysia lebih banyak memberikan tumpuan dan pelaburan kepada pasukan utama yang bertanding di saingan Liga Super atau Liga Premier.

Kedua, jelas sekali kelab-kelab di Malaysia tidak mempunyai struktur untuk membangunkan pemain muda berhadapan dengan bola sepak profesional.

Foto: FAM

Saya yakin sekiranya kelab-kelab di Malaysia serius memberikan pendedahan sewajarnya untuk bakat-bakat muda yang mereka miliki, hasilnya pasti akan lumayan di kemudian hari.

Rumusan

Objektifnya kini sangat jelas. Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti secara berterusan, yang akan meningkatkan mutu pertandingan. Mutu pertandingan yang baik akan mengangkat tahap kualiti bola sepak itu sendiri. Pemain-pemain ini juga seterusnya akan mampu bertanding di mana-mana pertandingan peringkar Asia dan Eropah. Mereka harus ada rasa dahaga untuk sentiasa memajukan diri demi mencapai tahap tertinggi di dalam karier.

Seterusnya pemain-pemain dari negara anda boleh menjadi penanda aras untuk peringkat rantau. Selepas itu Malaysia akan memiliki kelompok pemain yang mampu beraksi untuk negara di mana-mana kejohanan utama antarabangsa.