Kekalahan 0-1 Kedah kepada Melaka United dalam aksi Liga Super kelmarin bukan sahaja mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Lang Merah tetapi turut menafikan peluang untuk memintas Selangor di kedudukan ketiga dalam carta liga.
Justeru itu, Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPDA) menggesa barisan kejurulatihan Kedah segera memperbaiki segala kelemahan sebelum menghadapi perlawanan yang seterusnya.
Presiden KEPDA, Nor Asmadi Hamzah berkata dalam Harian Metro hairan dengan prestasi Kedah yang mampu bersaing dengan pasukan kuat tetapi kelihatan longlai apabila berdepan pasukan bawahan.
“Apabila menentang pasukan kuat, Kedah berjaya kekalkan rentak perlawanan, tapi kami hairan bila menentang pasukan bawahan, Kedah kecundang dengan mudah seperti bertemu Melaka dan KL yang mana tidak patut kita kalah.”
“Memang kalah menang adat perlawanan, namun apa yang kami terkilan adalah aksi pemain longlai yang tidak beraksi seperti dirancangkan.”
“Kami boleh terima kekalahan namun biarlah kekalahan itu kekalahan bermaruah dan bukan tewas mudah dengan kurang percubaan untuk menghasilkan gol.” katanya.
Malah, Kedah turut kehilangan dua tonggak utama menjelang perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Darul Aman, 26 April nanti.
Zaquan Adha Abd Razak yang diturunkan dalam kesebelasan utama terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan diganti Syahrul Azwari Ibrahim namun pemain tersebut juga mengalami kecederaan dan kini menunggu pengesahan doktor kecergasan pasukan.
“Perkara yang merisaukan kami sebagai kelab penyokong adalah faktor kecederaan membabitkan empat hingga lima pemain seperti pemain import Anmar Al Mubaraki, Zaquan Adha, Shahrul Azwari dan lain-lain yang belum dapat dipastikan status untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya nanti.”
“Tambahan pula Kedah perlu bersedia untuk aksi suku akhir Piala FA bertemu PKNS FC di gelanggang lawan empat hari selepas aksi Liga Super itu yang memerlukan tahap kecergasan tinggi.”
“Walau bagaimanapun kami masih yakin pihak kejurulatihan dapat merungkai masalah sedang melanda pasukan ini dengan melakukan beberapa rombakan perancangan dan pemain bagi mengelak masalah berterusan, ” katanya.