Kepakaran JDT Bakal Lahirkan Safee Sali 2.0 Pada Masa Hadapan

‘Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’, begitulah perumpamaan yang sesuai buat Benjamin Aryan bin Mohd Norli yang mengikut jejak langkah bapa saudaranya iaitu Safee Sali dalam bidang bola sepak profesional.

Tampil berbakat besar sejak usia 11 tahun bersama Akademi Perdana United, Benjamin tidak mengambil masa yang lama untuk membuktikan dirinya layak menjadi pemain baharu buat pembangunan akar umbi di JDT.

Bakat Benjamin menyerlah selaku penyerang berbisa

Rekod menyaksikan Benjamin telah memulakan karier dalam dunia bola sepak sejak berusia 8 tahun bersama kelab di sekitar Lembah Klang, sebelum berhijrah ke Johor.

Untuk info, Benjamin merupakan anak kepada adik Safee iaitu Norli Sali yang juga merupakan seorang pemain bola sepak suatu ketika untuk skuad Presiden Kuala Lumpur.

Ketika ini, Norli merupakan salah seorang individu yang penting untuk menguruskan Super Safee Soccer School di Selangor bersama abangnya.

Menurut jurulatih Perdana United iaitu Muhammad Iddin bin Juraini, beliau menyifatkan Benjamin memiliki corak permainan sama seakan Safee di posisi penyerang.

“Pada pandangan saya Benjamin memiliki ciri-ciri selaku seorang penyerang yang sangat baik dan mempunyai keupayaan cukup baik pada kaki kiri dan kanan. Boleh dikatakan kedua kaki beliau sangat baik selain tandukannya cukup berkualiti.

“Positioning dia di dalam final third sangat baik. Dia tahu di mana tempat yang perlu dia berada untuk mendapatkan bola dan seterusnya menghasilkan gol, terutamanya bila berada dalam kawasan kotak penalti,”ujar Iddin.

Iddin bersama Benjamin yang baru sahaja selesai menandatangani kontrak bersama JDT

Tambah perkongsian Iddin lagi, pemain muda tersebut sebenarnya sudah pun mengikuti sesi ujibakat bersama JDT sejak berusia 11 tahun lagi dan usaha dibuat Benjamin berbaloi apabila dirinya ditandatangani ketika mencecah umur 14 tahun.

“Nasihat saya supaya beliau terus fokus dan kerja keras selain berusaha sebaik mungkin sehingga Benjamin mampu menembusi pasukan utama JDT suatu hari nanti serta menjadi aset penyerang baharu buat Harimau Malaya,” ulas beliau.

Melihat kepada kepakaran JDT yang memiliki tenaga jurulatih berpengalaman dari luar negara serta dilengkap pelbagai teknologi moden, dijangka Benjamin mampu untuk menyelesaikan masalah kualiti penyerang tempatan pada masa hadapan.

Walaupun masih terlalu awal, semua boleh menyifatkan Akademi JDT sebagai platform cukup baik untuk melahirkan permata-permata baharu buat bola sepak dalam Malaysia menerusi pelbagai aspek.

Seperti dikatakan Iddin, Benjamin kini hanya perlu memberi fokus terbaik untuk meningkatkan lagi kualiti dalam permainan walaupun sudah berjaya menempatkan diri bersama Akademi JDT.

Pastinya kita mengharapkan supaya Safee Sali 2.0 bakal dilahirkan kelak selepas Malaysia ketandusan kualiti penyerang tempatan di pentas antarabangsa.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN