Kepada Pemain Naturalisasi Malaysia, Ini Benda Yang Anda Kena Buat

Pertama sekali, kami nak ucapkan tahniah kerana anda berjaya mendapatkan sesuatu yang ramai warga asing cari di Malaysia: hak menjadikan Malaysia sebagai ‘rumah’ dan menikmati kos sara hidup yang rendah (dengan gaji tinggi anda).

Jika tidak kerana keberanian anda untuk meninggalkan negara asal anda, tak mungkin mimpi anda akan terlaksana. Anda takkan jadi kaya. Anda takkan jadi pemain peringkat antarabangsa. Anda takkan diidolakan oleh kanak-kanak.

Tapi anda percaya dengan impian anda. Kami tabik keberanian anda. Kami tahu bukannya mudah untuk meninggalkan keluarga anda untuk mengejar impian. Benda ini telah lama kami nasihatkan kepada pemain tempatan kami. Anda bekerja keras untuk capai ke tahap sekarang. Anda memang berhak menikmati hasilnya.

Anda sebenarnya lebih bernasib baik daripada pemohon skim MM2H. Mereka mungkin boleh tinggal di Malaysia, tetapi mereka tiada kad pengenalan biru. Malahan orang yang lahir di Malaysia sendiri pun belum tentu dapat IC biru. Tapi anda dapat. Proses birokrasi nak dapat IC biru juga dipercepatkan. Punyalah komited kami nak tengok anda main untuk Malaysia.

Sebagai balasan, kami hanya minta anda satu sahaja: setialah kepada Malaysia.

Sebagai pemain naturalisasi Malaysia, anda mesti tahu apa keutamaan anda sekarang. Kami tahu kelab anda yang bayar gaji. Tapi bila Malaysia panggil, anda MESTI sahut. Malaysia yang beri kerakyatan kepada anda. Bukan kelab anda.

Kami tak mahu jadi macam Indonesia; negara yang menaturalisasikan pemain sesuka hati hanya untuk kepentingan kelab.

Selain itu, anda juga kena buat beberapa benda sebaik sahaja lepas mendapat IC biru anda. Bila baca senarai ini, kami harap anda berusaha melakukan kesemuanya – sebagaimana yang dituntut kepada semua rakyat Malaysia yang patriotik.

1. Hafal dan nyanyi Negaraku

Apabila lagu Negaraku berkumandang, kami mahu melihat anda sama-sama menyanyikannya.

2. Hafal dan hayati Rukun Negara

Kalau di Amerika Syarikat, semua rakyatnya diwajibkan untuk menghafal Pledge of Allegiance. Di Malaysia, anda pula – seperti rakyat Malaysia lain – wajib menghafal dan menghayati Rukun Negara.

3. Usaha untuk belajar bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu

Anda mesti rasa beruntung kerana secara umumnya ramai rakyat Malaysia boleh bercakap dan faham Bahasa Inggeris. Tapi ini bukan alasan untuk anda tidak mempelajari Bahasa Melayu.

4. Ambil berat isu-isu komuniti

Jangan hidup tak bercampur dengan masyarakat. Anda bukannya expats. Libatkan diri dengan aktiviti di komuniti tempat tinggal anda. Beri sumbangan sebanyak dan sekerap yang mungkin. Komuniti bola sepak akar umbi kita, seperti contoh, perlukan sokongan anda untuk memastikan masa depan yang lebih baik.

5. Sokong dan pertahankan perlembagaan

Perlembagaan kita beracuan raja berpelembagaan yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua kerajaan.

6. Libatkan diri dalam proses demokrasi

Seperti poin #4, anda perlu melibatkan diri dalam proses demokrasi dengan mengundi pemimpin kerajaan anda.

7. Hormati dan patuhi undang-undang

Walaupun Malaysia mempunyai beberapa undang-undang lapuk seperti ini, anda masih perlu menghormati undang-undang sivil dan jenayah secara umumnya untuk memastikan keamanan dipelihara.

8. Hormati hak, kepercayaan dan pendapat orang lain

Dalam negara yang mempunyai pelbagai budaya seperti Malaysia, hormat-menghormati sangat penting untuk memastikan keamanan. Kadang-kala anda mungkin tidak akan bersetuju dengan seseorang. Tetapi dengan menghormati pandangan mereka, anda jumpa cara untuk membalas hujah mereka secara hormat dan membuatkan mereka berfikir. Selain itu, ia membuatkan anda menjadi insan lebih baik.

9. Bayar cukai pendapatan dan cukai lain-lain

Cukai yang setiap rakyat Malaysia bayar membiayai hampir semua operasi kerajaan, daripada bantuan kewangan kepada orang miskin, membeli Mercedes untuk pegawai kerajaan hinggalah membiayai operasi NFDP.

10. Mempertahankan negara

Apabila semboyan telah berbunyi, semua rakyat Malaysia wajib menuju ke medan bakti. Tapi sementara negara kita masih aman damai, anda perlu menyahut semboyan di atas padang bola sepak. Jika tentera berjuang demi kebebasan rakyat biasa, anda pula berjuang untuk kebanggaan setiap penyokong Harimau Malaya.

Untuk membaca versi Bahasa Inggeris, sila ke pautan di bawah:

(SILA KLIK) To All Malaysia’s Naturalised Players, Here Are Your To-Do-List

Leave a Reply