Kenyataan Sanusi Tentang Hadiah Liga Malaysia Tak Berbaloi Seperti ‘Buruk Muka Cermin Dibelah’

Sanusi Presiden KFA Liga Malaysia Hadiah Tak berbaloi

Ketika mengulas mengenai penghijrahan pemain-pemain utama Kedah Darul Aman FC, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat telah melontar kritikan mengenai hadiah dan ganjaran buat pemenang Liga Malaysia.

Memetik kenyataannya yang telah disiarkan di Sinar Harian, “Pasukan bola sepak adalah kelab sukan swasta yang bersaing dengan liga yang hadiahnya tidak berbaloi berbanding pendapatan. Inilah liga Malaysia.” Jadi, adakah benar ia tidak berbaloi dengan apa yang telah pasukan belanjakan untuk saingan musim itu?

Berapakah nilai hadiah atau ganjaran bagi pemenang Liga Super dan Liga Premier? Menurut laporan Berita Harian pada September lalu, Musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima RM1 juta selaku juara Liga Super dan juara Liga Perdana, Negeri Sembilan pula meraih RM300,000. Jadi, adakah nilai hadiahnya berbaloi?

Menurut laporan itu lagi, di kalangan liga utama di Asean, Liga Malaysia masih boleh dianggap menawarkan hadiah yang tertinggi. Liga termaju di Asia Tenggara, Thai League umpamanya, hadiah untuk juara liga di sana adalah 10 juta Baht (RM1.2 juta) dan untuk juara V-League, mereka menerima 3 bilion Dong (RM552,559).

Melihat lebih jauh dari jendela Asean, juara English Premier League pula akan menerima £38 juta, diikuti £34 juta  untuk La Liga, £20 juta (Serie A) dan £14 juta (Ligue 1). Hadiah yang ditawarkan tentu mengambil kira pendapatan yang diraih liga tersebut juga. EPL umpamanya, pendapatan yang berjaya dijana adalah £2.5 bilion.

Berapa pendapatan atau nilai Liga Malaysia pada dasarnya? Sukar untuk kita katakan disebabkan tiada nilai yang dinyatakan kepada umum. Namun, jika ia berdasarkan jumlah tajaan diterima badan penganjur Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL), menurut laporan Awani Mac lalu, ia berjumlah RM33.4 juta.

Menurut laporan Utusan Malaysia ketika bercerita tentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mendermakan wang kemenangan Liga Super mereka kepada petugas barisan hadapan, jumlah hadiah kemenangan Liga Super adalah tidak tetap, di mana ia bergantung kepada jumlah sebenar tajaan yang diraih pada setiap musim.

Untuk musim 2021, setakat yang diketahui, penaja untuk Liga Malaysia selain Telekom Malaysia (TM) adalah Pusat Pakaian Hari-Hari apabila CIMB dan AirAsia menarik diri sebagai penaja selepas berakhirnya musim 2020. Penaja barangan pula adalah F&N 100Plus dan Nike Malaysia sebagai penaja bola rasmi Liga Malaysia.

Adakah benar hadiah kemenangan di Liga Malaysia tidak berbaloi bak kata Sanusi? Jika dibandingkan dengan liga utama rantau Asean, ‘habuan’ tersebut masih berbaloi. Sama penting, pasukan perlu menjana pendapatan sendiri selain mengharapkan hadiah kemenangan, itupun jika mereka berjaya menafikan penguasaan JDT.

Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan oleh pasukan untuk menjana pendapatan selain menanti ganjaran kemenangan di penghujung musim. Sudah tentu jualan jersi dan barangan pasukan menjadi taruhan terbaik dalam menambah lebih banyak pendapatan selain hasil daripada jualan tiket perlawanan serta penajaan.

Jika kita sebut cuba lihat dan contohi bagaimana JDT lakukan, nanti kita dikatakan ‘menjilat’ pula sedangkan JDT adalah antara model terbaik bagaimana sebuah kelab bola sepak beroperasi terutamanya di Malaysia.

Dengan menyalahkan semata-mata nilai hadiah kemenangan liga yang dikatakan tidak berbaloi, ia seperti kata pepatah, buruk muka cermin dibelah. Apakah nilai pasaran pasukan anda sebenarnya dan bagaimana anda menggerakkan jenama pasukan bola sepak anda sepanjang musim dalam menjana pendapatan buat pasukan?

Leave a Reply