Kenapa UltraSel Persoal Tindakan MFL ‘Hanya Tunda Perlawanan Kedah’?

Ultrasel persoal MFL SFC

Ultras Selangor (UltraSel) mempersoalkan tindakan Malaysian Football League (MFL) yang hanya menunda perlawanan-perlawanan melibatkan Kedah Darul Aman FC.

Selangor FC dijadualkan berdepan Kedah dalam aksi minggu ke-18 Liga Super, namun ia telah ditunda selepas kem Kedah dilaporkan terdapat kes penularan COVID-19.

Pada 23 Julai yang lalu, sebelum aksi pertama liga kembali bersambung, kem Kedah digemparkan dengan kes dua pemainnya yang disahkan positif COVID-19. Ketika itu mereka dalam persiapan akhir untuk berdepan musuh ketat mereka, Penang FC.

Penang FC juga dilihat sudah tiba di Alor Setar untuk aksi pada sebelah malamnya, namun akhirnya telah akur dengan keputusan MFL menunda perlawanan tersebut.

Selepas itu, MFL telah memutuskan yang lima perlawanan melibatkan skuad Hijau Kuning itu akan ditunda sehingga aksi berdepan Selangor, hujung minggu ini. Kedah akan kembali turun padang dalam aksi selepas ini berdepan Terengganu FC.

Kenyataan bercanggah oleh MFL pada April 2021 yang telah dipersoal oleh UltraSel.

Pada April lalu,  Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dipetik daripada Harian Metro berkata, tiada maaf buat pasukan yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) hingga berlakunya penularan COVID-19 dalam pasukan.

Ujarnya, antara hukuman yang bakal dikenakan terhadap pasukan terlibat adalah dengan pemotongan mata atau memberi kemenangan percuma buat pasukan lawan sekiranya didapati wujud kes positif COVID-19 dalam kalangan para pemain mereka.

“Jika terdapat pemain yang gagal patuhinya hingga disahkan [ada kes] positif serta mengakibatkan perlawanan tidak dapat dijalankan, kita tidak teragak-agak untuk memotong mata atau beri kemenangan percuma kepada pasukan lawan,” katanya.

Jadi, apa keputusan MFL dalam kes yang berlaku di kem Kedah pada 23 Julai lalu?

“Di sini pihak pengurusan Kedah mematuhi SOP yang ditetapkan dengan melakukan ujian ke atas pemain untuk mengesan kes lebih awal,” jelas Ab Ghani ketika itu.

Ujarnya lagi, “Ujian ini adalah SOP yang ditetapkan oleh MFL kepada semua pasukan untuk pemain memulakan Camp Based Training bagi menjaga Gelembung Sukan. Justeru, perlawanan Kedah dengan Penang FC terpaksa ditunda [ke satu tarikh].”

“Kedua-dua pemain berkenaan dikesan positif COVID-19 ketika tidak bersama pasukan dan bukan berada di dalam gelembung sukan,” tegas Ab Ghani lanjut mengenainya.

UltraSel memiliki dua persoalan yang ditujukan kepada pengurusan Selangor dan MFL.

“Kepada pengurusan Selangor, kenapa bersetuju dengan penangguhan perlawanan menentang Kedah?” titip UltraSel di laman Facebook rasmi mereka semalam.

“Kepada MFL, kenapa penangguhan perlawanan yang [telah] diputuskan berbanding hukuman untuk pasukan/pemain yang telah memecahkan gelembung sukan seperti yang ditetapkan [oleh] MFL & MKN (Majlis Keselamatan Negara)?” persoalan kedua.

Mungkin yang boleh menjawab kepada persoalan tersebut ada dalam kenyataan MFL berhubung penundaan perlawanan melibatkan Kedah sebelum ini iaitu, kes berlaku di luar gelembung sukan dan Kedah didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

Begitupun, kita akan menanti sama ada pihak MFL dan pengurusan Selangor akan menjawab kepada persoalan yang dibangkitkan itu dalam masa terdekat.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN