Selangor buat pertama kalinya mencatat kekalahan sulung mereka di saingan AFC Champions League Two (ACL 2) musim ini di peringkat Kumpulan H kepada Jeonbuk Hyundai.
Kekalahan 0-1 itu berlaku selepas jaringan tunggal dilakar penyerang import Jeonbuk Hyundai, Tiago Orobo di separuh masa pertama untuk memastikan wakil dari Malaysia itu terlepas peluang sekurangnya meraih satu mata.
Sepanjang beraksi di Stadium Piala Dunia Jeonju, jelas ada perbezaan dalam jurang permainan kedua pasukan itu jika dibandingkan pada aksi terdahulu.
Walaupun begitu, Selangor tetap memiliki beberapa peluang sebenarnya untuk meledak jaringan sebelum nasib serta kehandalan penjaga gol lawan memisahkan segalanya.
Walaupun tewas, penyokong Selangor setidaknya tak perlu untuk meratapi kekalahan tersebut atau menyalahkan mana-mana pihak jika melihat kepada beberapa pandangan dari Semuanya BOLA.
Beraksi di gelanggang lawan
Kelebihan bermain di laman sendiri jelas digunakan sepenuhnya oleh Jeonbuk Hyundai pada aksi tersebut yang menerima sorakan padu daripada penyokong tuan rumah sepanjang aksi berlangsung.
Malah, perbezaan cuaca serta suhu di sana juga sedikit sebanyak mempengaruhi Selangor untuk tampil menyesuaikan diri pada awalnya dalam permainan tersebut.
Apatah lagi pasukan tuan rumah jauh lebih mengenali keadaan padang serta atmosfera di stadium itu untuk menjadikan mereka begitu selesa dalam permainan sepanjang aksi berlangsung.
Pertaruhan 5 bintang muda
Pada aksi tersebut, Abdi Hassan membuat pertaruhan berani dengan meletakkan empat pemain muda dalam kesebelasan utama sepanjang aksi berlangsung.
Di posisi pertahanan, tiga pemain muda dipertaruhkan kelab itu dengan meletakkan Zikri Khalili, Abualnadi, serta Harith Haiqal untuk mengekang lawan.
Sementara Azim Al Amin mengisi posisi penjaga gol utama serta bintang mura Harimau Malaya Nooa Laine berperanan sebagai pemain tengah bertahan pada aksi tersebut.
Terarah kepada lawan kali ini pula, mereka tampil bersama pendekatan sedikit berbeza dengan meletakkan beberapa pemain berkualiti serta berpengalaman jika dibandingkan aksi lalu.
Tanpa jurulatih utama
Kehilangan Nidzam Jamil sudah tentu sedikit sebanyak merencatkan kualiti permainan kelab tersebut yang tampil begitu baik sepanjang awal persaingan 2024/2025 berlangsung.
Bawah kendalian Abdi Hassan, pastinya para pemain memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dalam corak permainan baharu jurulatih tersebut.
Merekodkan kekalahan 0-1 sahaja di gelanggang lawan, ianya dianggap tidak begitu teruk buat Abdi Hassan untuk tampil bersama pendekatan lebih baik pada masa hadapan berbaki beberapa perlawanan lagi di saingan ACL 2.